Berita

Artis Terima Kunci Rumah PPR

207views

KUALA LUMPUR, 23 Dis — Impian anak seni kurang berkemampuan mendiami rumah selesa sebagai tempat berteduh, akhirnya termakbul selepas masing-masing menerima kunci unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Lembah Subang 2, Petaling, Selangor, baru-baru ini.

Lebih menggembirakan, bagi sesetengah penerima, rumah disediakan bakal menjadi tempat penyatuan keluarga apabila anak yang selama ini menetap berjauhan termasuk di negeri lain, dapat kembali tinggal bersama.

Selepas menerima surat tawaran menyewa unit PPR pada September lalu, artis veteran yang mendapat tawaran program Perumahan Komuniti Seni Prihatin atas inisiatif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), lega boleh menetap di kediaman baharu.

Tambah bersyukur apabila penerima unit PPR di Lembah Subang 2 itu turut menerima barang keperluan seperti peti sejuk, mesin basuh, almari, katil, televisyen (TV) dan sebagainya.

Penyanyi veteran, Ayati Tasrip, 60, yang sudah berpindah sejak 15 Disember lalu, tersentuh dengan kesudian semua pihak bermurah hati menghulurkan sumbangan kepada mereka.

“Saya dan suami sangat bersyukur apabila dipilih memiliki sebuah unit PPR di Lembah Subang 2 ini, apatah lagi rumah ini selesa.

“Biarpun atas status PPR, rumah ini mempunyai tiga bilik dan cukup besar bagi kami. Alhamdulillah, terima kasih kepada FINAS dan badan bukan kerajaan (NGO) lain yang membantu kami mendapatkan kediaman ini.

“Kami rasa bertuah dan bersyukur apabila turut menerima sumbangan barangan rumah. Bukannya sedikit, boleh dikatakan keperluan yang lengkap untuk kami semua yang menerima rumah di PPR Lembang Subang 2 ini,” katanya kepada BH Online.

Tambah penyanyi yang popular dengan lagu Khazanah Dari Malaya itu, sumbangan itu meringankan tanggungannya bersama suami, pesara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bergantung kepada pencen.

“Dengan duit pencen suami, mampulah kami membayar sewa rumah PPR. Lagipun saya tiada pendapatan seperti dulu. Sejak pandemik COVID-19, undangan persembahan tidak banyak.

“Jadi pemberian ini sedikit sebanyak meringankan tanggungan kami,” katanya.

Source Link