Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaAS: Puluhan ribu adakan tunjuk perasaan menentang keganasan guna senjata api

AS: Puluhan ribu adakan tunjuk perasaan menentang keganasan guna senjata api

WASHINGTON, 12 Jun (Bernama) – Puluhan ribu penduduk di Amerika Syarikat (AS)  mengadakan tunjuk perasaan menentang keganasan senjata api pada Sabtu selepas beberapa siri tembakan besar-besaran sejak beberapa bulan kebelakangan ini, lapor Agensi Anadolu.

Protes dianjurkan pertubuhan March For Our Lives, yang diasaskan pelajar yang terselamat daripada kejadian serangan beramai-ramai di sebuah sekolah di Parkland, Florida pada 2018.

Di Washington DC, penunjuk perasaan berkumpul di kawasan National Mall, sambil membawa sepanduk tertera perkataan “Kawal senjata api sekarang,” “Tamatkan keganasan senjata api,” “Cukup setakat ini,” dan “Lindungi kanak-kanak bukan senjata api.”

Datuk Bandar Muriel Bowser turut menyampaikan ucapan kepada orang ramai di sekitar Monumen Washington, meminta Kongres melaksanakan undang-undang senjata api “yang masuk akal” untuk memerangi keganasan senjata api.

Tunjuk perasaan dianjurkan di seluruh negara sebagai tindak balas terhadap insiden tembakan terbaharu di sekolah rendah di Uvalde, Texas dan serangan bersenjata yang bersifat perkauman di Buffalo, New York.

Presiden AS Joe Biden berulang kali menggesa Kongres supaya meluluskan undang-undang senjata api  lebih ketat bagi mengurangkan keganasan di seluruh negara.

Pada minggu ini, Dewan Rakyat meluluskan “Akta Perlindungan Kanak-Kanak”, bertujuan mencegah keganasan senjata api.

Rang undang-undang itu mensyaratkan had umur yang dibenarkan membeli senapang automatik dinaikkan daripada 18 kepada 21 tahun.

Selain di ibu negara AS, tunjuk perasaan juga berlaku di New York, Los Angeles, Chicago, Boston dan bandar-bandar lain.

Sekurang-kurangnya 255 insiden tembakan besar-besaran terjadi di AS tahun ini, menurut Arkib Keganasan Senjata.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular