info@rakyat.my
Friday, June 18, 2021
Berita

Asia Digital Bank Sasar Jadi Pengendali Aset Digital Terkemuka Dunia

82views

KUALA LUMPUR, 28 Mei — Asia Digital Bank Ltd (ADB), anak syarikat milik penuh Asia Pacific Investment Bank (APIB) milik negara China, berusaha untuk menjadi pengendali aset digital terkemuka dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif, Chris Wang berkata sasaran itu dapat dicapai melalui pembangunan platform perkhidmatan kewangan yang inklusif untuk transaksi aset digital, dengan teknologi kewangan digital terkini sebagai teras.

Beliau berkata ADB akan terus berperanan dalam menyumbang kepada pembangunan kesejahteraan komuniti di Malaysia dan China, serta kemajuan ekonomi digital global.

“ADB akan memanfaatkan platformnya untuk memenuhi pasaran global dan pelanggan di seluruh dunia menerusi perkhidmatan teras seperti kemampuan pelaburan dan pembiayaan rentas sempadan, pengurusan aset digital serta pembiayaan perdagangan berstruktur rentas sempadan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata menerusi usaha memanfaatkan platform teknologi kewangan terkemuka, ADB akan membina ekosistem perkhidmatan pembiayaan kendiri dengan sokongan teknologi kewangan terkemuka dan menerajui pakatan industri.

ADB, diperkenalkan secara rasmi menerusi maya hari ini, telah memperoleh lesen perbankan digital pertama bagi bank pelaburan daripada Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (LFSA) pada November 2020.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah LFSA, Datuk Iskandar Mohd Nuli berkata, pelancaran rasmi ADB akan mencetuskan kerancakan baharu dalam inovasi industri kewangan digital Malaysia.

Beliau berkata LFSA sentiasa berusaha mempromosikan Labuan untuk menjadi hab perkhidmatan kewangan global bernilai tambah tinggi dan kompetitif.

Iskandar juga berharap akan ada lebih banyak institusi kewangan seperti ADB menyertai pembangunan hab kewangan di Labuan, dan juga di Malaysia.

Source link