Selasa, Mei 17, 2022
HomeBeritaAzerbaijan optimis perjanjian damai dengan Armenia boleh dicapai

Azerbaijan optimis perjanjian damai dengan Armenia boleh dicapai

KUALA LUMUR, 6 Mei (Bernama) — Azerbaijan yang berdepan konflik dengan Armenia optimis perjanjian damai yang berkekalan dapat dicapai antara kedua-dua negara, kata Duta Azerbaijan ke Malaysia Irfan Davudov.

Beliau berkata keyakinan itu timbul selepas menyaksikan realiti pasca perang dan “isyarat positif” dari Armenia serta masyarakat antarabangsa ke arah mencapai keamanan berpanjangan.

“Situasi terkini adalah masa dan peluang terbaik…Saya rasa kami sangat optimis kerana terdapat isyarat baik dan positif daripada kedua-dua pihak ke arah mencapai keamanan yang berpanjangan,” katanya dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini.

Davudov berkata keamanan berpanjangan bukan sahaja demi kepentingan kedua-dua negara dan rakyatnya tetapi demi keselamatan dan kestabilan serantau di rantau Caucasus Selatan.

Armenia juga perlu memahami bahawa persekitaran yang aman antara Yerevan dan Baku adalah penting bagi pembangunan ekonomi sambil menambah bahawa Azerbaijan yang kaya dengan gas dan minyak bukanlah musuh kepada sesiapa, katanya.

Davudov menjelaskan bahawa Baku di bawah kepimpinan Presiden Ilham Aliyev telah mengambil semua langkah yang perlu bagi melupakan masa lalu yang kelam antara kedua-dua negara supaya rakyat dapat hidup dengan aman.

Beliau juga menegaskan perang berlaku susulan kegagalan demi kegagalan terhadap rundingan selama hampir 28 tahun.

“Jika perjanjian damai ditandatangani dan prinsip asanya diterapkan maka keamanan di Caucasus akan berpanjangan dan mampan.

“Kami mempunyai hubungan baik dengan semua negara jiran, bukan sahaja dengan Turki dan Rusia tetapi juga dengan Georgia dan Iran.

“Kami berharap dapat menjalin hubungan baik dengan Armenia serta dikelilingi oleh kejiranan yang stabil,” katanya.

— BERNAMA

Sumber

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular