Berita

Azwan Ali, Ziana Zain Menitiskan Air Mata

60views

KUALA LUMPUR, 1 Dis — Malam kelmarin, episod ketiga program realiti Lagu Cinta Kinta (LCK) musim kedua yang disiarkan secara langsung TV3, menyaksikan hos, Azwan Ali dan teman baiknya, Ziana Zain, masing-masing menitiskan air mata lantas viral di laman sembang.

Berkawan sejak lebih 30 tahun lalu, Azwan atau lebih dikenali sebagai Diva AA gagal mengawal perasaan apabila berbicara mengenai persahabatan dengan Ziana, di mana suatu ketika dahulu, Azwan pernah dikatakan menaruh perasaan terhadap penyanyi Madah Berhelah itu.

Azwan yang membuat kejutan tampil dalam program itu, sekali gus menjawab teka-teki apakah dia kembali mengendalikan LCK2 bersama Elly Mazlein, berkongsi kisah sebenar hubungannya dengan Ziana.

“Soal perasaan saya terhadap Ziana itu cerita lama… Itu andaian umum. Sampai hari ini, saya amat kagum dirinya sebagai bintang seni yang hebat dan wanita cekal.

“Tidak mungkin saya dan dirinya bercinta. Ziana sahabat yang sukar dicari ganti. Lagu dendangannya saban hari menemani hidup saya.

“Bayangkan, sampai kucing pun saya beri nama Ziana Zain,” katanya.

Selain Ziana, pelakon Zara Zya turut diundang menjayakan episod berkenaan yang antara lain mengupas kisah cinta tidak kesampaian.

Azwan, 54, berkata, apabila Ziana berpisah dengan bekas suami, ada pihak menyarankan dia kembali menakluk hati wanita itu.

“Mereka fikir apabila Ziana sudah kembali solo, inilah masanya untuk saya kembali mencuri hatinya. Ibarat macam cinta boleh berputik kembali.

“Tetapi hakikatnya, orang tidak tahu hubungan saya dan Ziana macam mana. Kalau hendak meminta itu dan ini, jangan sembarangan. Setakat hendak suruh mengahwininya, saya tidak kisah.

“Namun, apa yang membuatkan saya terkilan apabila ada netizen terus mempersoalkan kenapa saya tidak jadi berkahwin dengan Ziana. Sampai ada yang cakap, padan muka sebab Ziana tidak mahukan saya,” katanya.

Enggan terus terbuai dengan kenangan silam, Azwan berterima kasih kepada TV3 dan produksi LCK2 kerana menjadikan episod malam kelmarin, cukup istimewa buat dirinya.

“Ini melenyapkan tanda tanya termasuk tohmahan orang terhadap saya,” katanya sambil menambah Ziana sempat memberitahu kemunculan mereka dalam episod berkenaan, ditonton ibu bapa penyanyi itu.

Mendapat sambutan baik sehingga sohor kini, selesai siaran langsung, Azwan pulang dan terus ‘pengsan’.

“Bangun Subuh, baru sedar banyak komen membanjiri media sosial. Ada yang sampai menangis melihat babak emosi saya dan Ziana,” katanya.

Mengulas komitmennya bersama LCK2, Azwan mengaku ditawarkan untuk muncul dalam episod ketiga, pada saat-saat akhir.

“Ini bukan gimik atau sandiwara. Jangan pula ada yang hendak mengaitkan semua ini sebagai strategi terancang.

“Saya hampir menolak tawaran episod untuk ketiga ini. Bukan kerana tidak menghargai tawaran itu, cuma, komitmen kerja ini cukup memenatkan.

“Apatah lagi dengan kes Alif Satar disahkan positif COVID-19 dan kesannya kepada kontak rapat hingga ada ada siaran langsung terpaksa dibatalkan.

“Selepas berfikir banyak kali dan berbelah bahagi dengan harapan peminat, saya terima tawaran itu,” katanya.

Ditanya apakah dia bakal mengendalikan LCK2 bersama Elly hingga habis, Azwan enggan mengiyakannya.

“Apa saja keputusan TV3, saya terima. Saya tidak akan rasa apa-apa apatah lagi berdendam dan menghalalkannya. Kalau ada rezeki terus mengacara, adalah. Kalau sebaliknya, tidak mengapa,” katanya.

Sementara itu, Ziana mengaku lebih mengenali Azwan yang digelarnya ‘Deknon’ daripada orang lain.

“Walaupun orang gosipkan kami, namun, hubungan saya dengan dia sebagai sahabat.

“Walaupun bertahun tidak berjumpa, saya selalu telefon dan bertanya khabar. Sahabat dan kawan itu adalah dua pengertian yang berbeza,” kata kakak kepada Anuar Zain ini.

Source Link