info@rakyat.my
Wednesday, June 16, 2021
Berita

Bahagian awam IPO Econframe catat terlebih langgan 40.23 kali

80views

KUALA LUMPUR, 15 Okt — Bahagian awam Tawaran Awam Awal (IPO) Econframe Bhd mengalami keadaan terlebih langgan sebanyak 40.23 kali menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 27 Okt ini.

Pengarah Urusan Kumpulan, Lim Chin Horng berkata minat yang tinggi terhadap IPO tersebut menunjukkan keyakinan pasaran dengan prospek pertumbuhan Econframe.

“Sejak penubuhan kami 19 tahun lepas, kami telah membangunkan perniagaan yang berdaya tahan dengan asas yang kukuh.

“Kami yakin bahawa kami akan terus berusaha dan melakar pencapaian bermakna dalam industri ini memandangkan kami memulakan rancangan perluasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

IPO bagi penyedia penyelesaian menyeluruh sistem pintu itu merangkumi terbitan awam sebanyak 65 juta saham biasa baharu dan tawaran jualan 32.5 juta saham sedia ada pada 28 sen sesaham, yang akan mendorong Econframe mengumpul kira-kira RM18.20 juta.

Syarikat itu berkata ia telah menerima 11,827 permohonan dengan jumlah 670.02 juta saham baharu bernilai RM187.61 juta daripada orang awam Malaysia untuk 16.25 juta saham baharu yang tersedia untuk mereka sekali gus mewakili kadar terlebih langgan sebanyak 40.23 kali.

Daripada jumlah itu, 6,105 permohonan dengan 297.61 juta saham baharu yang diterima adalah bagi bahagian bumiputera dan mencatatkan kadar terlebih langgan sebanyak 35.63 kali, manakala 5,722 permohonan untuk 372.42 juta saham baharu pula mewakili kadar terlebih langgan 44.84 kali.

Econframe berkata selain itu sebanyak 3.25 juta saham baharu tersedia untuk para pengarah yang layak dan pekerja telah dilanggan sepenuhnya.

Tawaran persendirian dengan jumlah 13 juta saham baharu turut tersedia untuk pelabur terpilih dan 32.5 juta saham baharu tersedia untuk pelabur bumiputera dikenal pasti yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri juga telah dilanggan sepenuhnya.

Ia berkata tawaran jualan 32.5 juta saham sedia ada juga telah dilanggan sepenuhnya.

— BERNAMA

Source link