Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaBajet 2023: Kerajaan bina daya tahan menerusi guna tenaga dan perlindungan sosial

Bajet 2023: Kerajaan bina daya tahan menerusi guna tenaga dan perlindungan sosial

KUALA LUMPUR, 3 Jun (Bernama) —  Kerajaan akan menumpukan kepada memudah cara guna tenaga, pekerjaan semula, perlindungan sosial dalam kalangan mereka yang bekerja sendiri dan dalam sektor informal serta bantuan bersasar untuk menyediakan jaring keselamatan sosial optimum untuk kumpulan rentan tanpa mengkompromikan kedudukan fiskalnya.

Menurut Kementerian Kewangan (MOF) dalam Kenyataan  Pra-Bajet 2023 hari ini, Bajet 2023 akan menyediakan tumpuan khas kepada memudah cara segmen pekerjaan atau pekerjaan semula terutamanya siswazah menganggur, wanita yang meninggalkan pasaran kerja, orang kurang upaya (OKU) dan penganggur jangka masa panjang.

“Intervensi akan termasuk pemahiran semula sejajar dengan permintaan sektoral dan pekerjaan mengikut tempat. Meningkatkan kadar penglibatan tenaga kerja wanita akan memerlukan intervensi termasuk memudah  cara akses kepada penjagaan kanak-kanak yang berkualiti dan berpatutan,” kata kenyataan itu.

Dalam usaha untuk mengurangkan beban kewangan rakyat, peruntukan untuk bantuan tunai langsung kepada golongan rentan juga akan ditingkatkan dan lebih banyak disasarkan dalam bajet tahun depan, terutamanya kepada warga emas, pelajar sekolah, OKU, Orang Asli dan ibu tunggal.

Sementara itu, Bajet 2023 juga akan menumpukan kepada meneruskan program peningkatan kemahiran dan pemahiran semula, meningkatkan produktiviti menerusi digitalisasi  aktiviti ekonomi dan memastikan gaji yang wajar dalam kalangan rakyat termasuk menerusi semakan gaji minimum.

Untuk menyediakan akses kepada perumahan berkualiti, pendidikan, penjagaan kesihatan, keselamatan dan pengangkutan, Kementerian Pendidikan dan Kesihatan akan terus menjadi penerima perbelanjaan operasi terbesar.

MOF berkata ia menunjukkan kepentingan diberikan kepada akses sejagat untuk pendidikan berkualiti dan penjagaan kesihatan dengan peningkatan tumpuan kepada pendidikan bakat untuk persiapan masa hadapan dan fokus ke atas penjagaan kesihatan pencegahan dalam konteks penyakit tidak berjangkit.

Kerajaan juga akan melakukan libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan untuk meneroka kaedah melaksanakan lebih banyak bantuan bersasar dalam Bajet 2023, terutamanya program bantuan tunai dan  subsidi bahan api yang akan dipertingkatkan menerusi mekanisme agihan yang lebih berkesan.

Bajet 2023 juga akan menumpukan kepada memastikan jaminan makanan asas pada harga berpatutan.

“Kerajaan akan terus melakukan intervensi di mana perlu untuk mengurangkan kenaikan ketara harga barangan keperluan sementara memastikan sumber kerajaan dibelanjakan kepada mereka yang benar-benar memerlukan menerusi subsidi bersasar,” kata MOF.

Menurut kenyataan itu, Pelan Pemulihan Pelancongan (TRP) 2022 akan diperluaskan dalam 2023 dengan memasukkan Kluster Pengangkutan Udara dan Kluster Penginapan untuk menggiatkan semula industri pelancongan dan mengembalikan keyakinan pelancong dalam destinasi yang ditetapkan.

“Langkah pemulihan akan disasarkan untuk memenuhi keperluan pelancong, termasuk permintaan tinggi untuk menambah baik langkah-langkah keselamatan dan kebersihan. Ini termasuk menyediakan produk dan perkhidmatan lebih berkuallti, meningkatkan kelestarian produk pelancongan, mengukuhkan kedudukan jenama dan promosi, memperkenalkan pembaharuan tadbir urus dan menggiatkan pelancongan tempatan,” katanya.

Kerajaan telah melancarkan TRP 2022 April lepas bagi meningkatkan pergerakan warga Malaysia untuk melancong dan berbelanja dengan menawarkan diskaun, baucar dan rebat melibatkan dua kluster, Kluster Pengangkutan Darat dan Kluster Persatuan Pelancongan.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular