Berita

Bakar Kereta Milik Saudara Kerana Tidak Puas Hati Isteri Tidak Pulang Ke Rumah

Gambar Hiasan
107views

ISKANDAR PUTERI, 11 Mac — Seorang penganggur disyaki membakar kereta milik saudara di Taman Bukit Indah, di sini, semalam, kerana berang selepas isterinya tidak pulang ke rumah sejak awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar, berkata isteri suspek dikatakan berada di rumah saudara terbabit ketika kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 pagi.

Terdahulu, beliau berkata, mangsa berusia 22 tahun yang turut berada di rumahnya ketika itu, mendakwa terdengar bunyi penggera kereta beliau.

Berdasarkan laporan mangsa, katanya, lelaki itu kemudian mendapati bahagian tayar sebelah kiri kereta Proton Saga miliknya sedang dijilat api lalu berusaha memadamkan kebakaran berkenaan tetapi gagal.

Pada masa sama, beliau berkata, pengadu turut meminta bantuan pihak bomba yang kemudian berjaya memadamkan kebakaran itu.

“Hampir keseluruhan kereta terbabit mengalami kerosakan akibat kebakaran itu.

“Mangsa mengenali suspek dan menyalurkan maklumat kepada pihak polis.

“Susulan itu, sepasukan polis berjaya menahan suspek di tepi Jalan Indah 5/5, Taman Bukit Indah, pada hari sama,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Dzulkhairi berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek berumur 47 tahun mengaku melakukan kesalahan itu kerana tidak puas hati terhadap isterinya yang tidak balik ke rumah sejak 1 Mac lalu berikutan perselisihan faham.

“Suspek juga didapati ada satu rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

“Bagaimanapun, keputusan saringan air kencing terhadap suspek didapati negatif,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Source Link