Selasa, Mei 17, 2022
HomeBeritaBan MADA pecah, 75,000 akaun pengguna dijangka alami gangguan bekalan air

Ban MADA pecah, 75,000 akaun pengguna dijangka alami gangguan bekalan air

ALOR SETAR, 9 Mei (Bernama) — Kira-Kira 75,000 akaun pengguna Syarikat Air Darul Aman (SADA) di daerah Kota Setar dan Pokok Sena berdepan gangguan bekalan air berikutan insiden ban Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan terusan tengah pecah di Pokok Sena dekat sini tengah hari tadi.

Menerusi akaun Facebooknya, SADA memaklumkan dua loji rawatan air (LRA) terpaksa dihenti tugas bagi memberi laluan kepada kerja-kerja kecemasan berhubung insiden tersebut iaitu LRA Pokok Sena dan LRA Bukit Pinang.

Menurut SADA, sebanyak 60,000 akaun dianggarkan terjejas di daerah Kota Setar mulai 4.15 petang dan 15,000 akaun di kawasan Pokok Sena mulai 4.45 petang.

Di Kota Setar, antara kawasan yang terjejas ialah seluruh Pekan Langgar, Sepanjang Jalan Langgar ke Bandar Alor Setar, Pekan Kepala Batas, sepanjang Jalan Gunung, Jalan Sungai Baru dan Jalan Pantai Johor ke Simpang Empat.

Istana Negeri Kedah, Kediaman Menteri Besar, Hospital Sultanah Bahiyah, Penjara Alor Setar, Hospital Lama Alor Setar, Kompleks Bangunan Kerajaan Anak Bukit dan Wisma Darul Aman pula merupakan antara premis yang dijangka mengalami gangguan bekalan air.

SADA memaklumkan gangguan bekalan air itu dijangka berterusan sehingga kadar aliran dan paras air sungai kembali normal.

Sementara itu, Pengerusi MADA Ahmad Tarmizi Sulaiman dalam kenyataan memaklumkan insiden runtuhan ban kanan Terusan Tengah berlaku di Struktur Alor Limpah, Sifon Lengkuas MADA pada 12.15 tengah hari.

Beliau berkata insiden itu disebabkan hujan lebat semalam di kawasan terbabit yang menyebabkan aliran sungai tidak terkawal dan berlaku peningkatan paras air dari tadahan Sungai Padang Terap.

“Hujan ini menyebabkan kenaikan paras air iaitu melebihi paras limpah di Alor Limpah Lengkuas Sifon pada 8.01 meter menyebabkan kegagalan struktur alur limpah di Sifon Lengkuas. Kejadian ini dijangka memberi kesan kepada penggunaan bekalan air terawat penduduk sekitar,” katanya.

Ahmad Tarmizi juga berkata MADA dan SADA telah mengambil tindakan segera dengan menjalankan kerja-kerja pembinaan sekatan sementara di Sungai Bukit Pinang bagi mengawal paras air di Terusan Tengah supaya operasi LRA SADA tidak terjejas.

Katanya kerja-kerja pembaikan ban sementara akan dijalankan malam ini oleh kontraktor yang dilantik oleh pihak MADA.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular