info@rakyat.my
Monday, June 21, 2021
Berita

Banjir Di Enam Negeri, Keadaan Di Pahang Semakin Buruk

38views

KUALA LUMPUR, 8 Jan — Situasi banjir yang melanda beberapa negeri semakin buruk dengan peningkatan mendadak jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) pagi ini.

Sehingga kini jumlah keseluruhan mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS di Pahang, Terengganu, Kelantan, Perak, Johor dan Sabah menghampiri angka 50,000 orang.

Di PAHANG, mangsa banjir pagi ini meningkat kepada 27,073 daripada 7,278 keluarga yang ditempatkan di 275 PPS di sembilan daerah, dengan peningkatan ketara berlaku di Temerloh.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Temerloh merekodkan mangsa banjir seramai 9,998 orang diikuti Maran (4,192 orang), Lipis (2,528 orang), Kuantan (2,334 orang), Jerantut (2,069 orang), Raub (2,006 orang), Pekan (1,689 orang), Bera (1,255 orang) dan Rompin (1,002 orang).

Pemegang konsesi Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) ANIH Berhad dalam kenyataan pula memaklumkan KM126.3 (Chenor-Temerloh) ditutup sepenuhnya pada 2.30 pagi tadi, selain KM113 dan KM115 (Lanchang-Temerloh) masih ditutup sejak Selasa lalu.

Portal infobanjir.water.gov.my memaklumkan tiga sungai di Pahang melepasi paras amaran iaitu Sungai Jelai di Jeram Bungor, Lipis; Sungai Kuantan di Pintasan Kuantan dan Sungai Pahang di empat lokasi.

Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 12,899 orang di 50 PPS pada jam 8 pagi ini berbanding 8,138 orang pada 3 petang semalam dengan Kemaman merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 11,065 orang di 28 PPS diikuti Dungun (1,574), Hulu Terengganu (207) dan Besut (53).

Selain itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melaporkan dua sungai di dua daerah masih melepasi paras bahaya iaitu Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman setinggi 6.67 meter (m) (paras bahaya 4 m) dan Sungai Dungun di Jambatan Jerangau setinggi 13.23 m (paras bahaya 12.5 m).

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 6,319 orang daripada 1,726 keluarga pagi ini berbanding 5,896 orang daripada 1,520 keluarga petang semalam, dengan 75 PPS diaktifkan.

Aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan Kota Bharu menjadi jajahan terbaharu dilanda banjir dengan 13 orang mangsa, selepas banjir melanda lima jajahan lain iaitu Kuala Krai dengan 3,063 orang mangsa, Pasir Mas (1,496), Tanah Merah (623), Jeli (609) dan Gua Musang (515).

Menurut infobanjir.water.gov.my, setakat pagi ini, tujuh sungai di negeri itu melepasi paras bahaya termasuk Sungai Galas di Limau Kasturi, Gua Musang; Sungai Lebir di Tualang, Kuala Krai ; dan Sungai Kelantan di Kuala Krai.

Di PERAK, Perak Tengah menjadi daerah terbaharu dilanda banjir dengan sebuah PPS di dewan orang ramai Kampung Tanjung Aur dibuka bagi menempatkan sembilan mangsa daripada tiga keluarga, menjadikan jumlah mangsa banjir di negeri itu setakat 6 pagi tadi adalah 359 orang daripada 100 keluarga.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata seramai 334 orang lagi adalah mangsa banjir di daerah Hilir Perak yang kini berlindung di dua PPS manakala, 16 orang lagi di daerah Hulu Perak dan ditempatkan di satu PPS.

Menurut infobanjir.water.gov.my, paras Sungai Perak di Kuala Kenderong, Hulu Perak dan di Kampung Gajah, Perak Tengah kini pada tahap amaran selepas masing-masing mencatat bacaan 112.43 m serta 6.54 m setakat pukul 6 pagi tadi.

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir di negeri itu berkurangan kepada 1,422 orang daripada 363 keluarga pagi ini berbanding 2,260 orang daripada 559 keluarga petang semalam, dengan 16 PPS beroperasi ketika ini menempatkan mangsa daripada lima daerah iaitu lima di Kota Tinggi, Kluang (3), Mersing (5), Johor Bahru (1) dan dua di Segamat.

Kluang adalah daerah tertinggi dengan 688 mangsa daripada 163 keluarga, manakala Mersing 350 mangsa, Kota Tinggi (223), Segamat (89) dan Johor Bahru (72).

Di SABAH, mangsa banjir di Beaufort kekal dengan 35 orang daripada 13 keluarga, yang ditempatkan di PPS Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir, Beaufort.

– BERNAMA