Bantu PMKS berdaya saing di peringkat global dengan lebih banyak program pembangunan

KUALA LUMPUR, 29 Dis (Bernama) — Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) memerlukan lebih banyak program pembangunan yang membolehkan mereka berdaya saing di peringkat global, menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata keperluan untuk bersaing dalam pasaran antarabangsa telah berubah dengan ketara sejak beberapa tahun lepas, memandangkan pembeli tidak lagi membuat keputusan mereka berdasarkan harga semata-mata.

“Pembuat dasar, banyak pihak berkepentingan serta pengguna kini mempunyai jangkaan yang berbeza dan lebih menekankan kepentingan menerima pakai langkah kemampanan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata pengeksport mesti melabur dalam membangunkan strategi eksport yang mampan, yang menggalakkan dan menerima guna prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam proses pengeluaran dan rantaian bekalan global mereka untuk memenuhi keperluan pasaran yang berubah-ubah.

“Tadbir urus dan operasi perniagaan, termasuk keprihatinan terhadap komuniti, mesti dipusatkan pada trend sosioekonomi. PKS kita memerlukan pensijilan, piawaian, pelabelan dan pengesahan global yang berkaitan dalam usaha untuk bersaing pada skala global dan dalam pasaran bernilai tinggi,” katanya.

Mohd Mustafa berkata untuk melakukan usaha ini, PKS harus bergerak seiring dengan pemudahan yang berkesan di samping mengubah suai beberapa program pembangunan secara pragmatik untuk merealisasikan sepenuhnya potensi global mereka dalam iklim ekonomi semasa.

“PKS kita mesti bersedia untuk era digital, yang melangkaui daripada sekadar memiliki laman web, termasuk mendedahkan mereka kepada teknologi canggih seperti ‘metaverse’,” katanya.

Dalam menekankan pemasaran e-dagang sebagai satu lagi bidang utama, beliau berkata MATRADE telah lama memperkenalkan program yang dipanggil Program eTrade (kini eTrade 2.0) untuk mempercepat pembelajaran dan pengamalan pemasaran e-dagang sebagai alat untuk mengeksport dalam kalangan PKS tempatan.

“Kita perlu membangunkan keupayaan baharu untuk mempelbagaikan lagi kelebihan kita.

“Berkenaan dengan perdagangan antarabangsa, MATRADE menggesa semua pihak yang berkaitan untuk bekerjasama dengan kami bagi membangunkan bidang kelebihan baharu seperti sektor perkhidmatan dan sektor mesra alam serta berinovatif tinggi,” katanya.

Beliau berkata sejak itu MATRADE telah menjalin perkongsian bernilai tinggi dengan peserta industri merentas pelbagai segmen antaranya Google, DHL Express, CIMB, Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia, SIRIM dan Bank Islam.

Mohd Mustafa berkata ketika Malaysia berusaha untuk memperkukuh perkongsian sedia ada dan menjalinkan perkongsian baharu dengan negara-negara di rantau ini, komitmen negara terhadap perdagangan bebas dan ekonomi terbuka akan melonjakkan keupayaan Malaysia untuk bersaing dalam pasaran antarabangsa selain memastikan kemakmuran ekonomi untuk tahun-tahun akan datang.

Beliau berkata kehadiran perniagaan Malaysia dalam rantaian bekalan global menyumbang kepada kestabilannya dan negara sudah pasti mampu untuk terus mengukuhkan kedudukannya sebagai negara perdagangan yang kukuh dan boleh dipercayai.

“Malaysia boleh mendapat manfaat daripada peluang yang dibawa oleh globalisasi yang lebih meluas dan integrasi ekonomi serantau melalui Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dengan menggunakan lokasi strategiknya.

“Selain itu, globalisasi mempunyai potensi besar untuk Malaysia, menawarkan akses yang lebih luas kepada pasaran, pelaburan dan sumber untuk memudahkan pertumbuhan ekonomi Malaysia,” katanya.

Ketika Malaysia terus mengejar peluang perdagangan antarabangsa yang lebih besar, beliau berkata terdapat banyak peluang yang boleh dimanfaatkan dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

Beliau berkata Malaysia dijangka menyaksikan lonjakan permintaan untuk produk dan perkhidmatannya, dengan syarat kesediaan syarikat tempatan ditangani dan pragmatik dalam pendekatan akses pasaran.

Mohd Mustafa juga berkata langkah Malaysia untuk meletakkan dirinya di barisan hadapan ekonomi digital dengan memanfaatkan kepakarannya dalam teknologi, infrastruktur komunikasi dan pengetahuan tempatan akan menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan eksport negara.

“Kebanyakan inisiatif di Malaysia tertumpu kepada menyediakan akses yang lebih baik kepada sumber seperti kewangan, teknologi, kemahiran dan bakat, dan usaha ini membantu meningkatkan infrastruktur dan kesalinghubungan Malaysia kepada ekonomi global.

“Kita mesti terus mengukuhkan kehadiran kita dalam perdagangan antarabangsa melalui Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan organisasi serantau lain serta menggalakkan penggunaan perjanjian perdagangan bebas (FTA) sebagai instrumen untuk meningkatkan akses pasaran,” katanya.

Mohd Mustafa berkata Malaysia juga mesti bersedia dengan perubahan dalam sifat perdagangan antarabangsa, seperti kenaikan tarif, perlindungan dan kos pengeluaran.

“Kita mesti bekerja secara bersepadu untuk memastikan bahawa undang-undang perdagangannya boleh disesuaikan dengan perkembangan ini dan Malaysia berada dalam kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peluang yang muncul dalam perdagangan global, seperti pendigitalan proses, teknologi blockchain dan platform e-dagang.

“Akhir sekali, syarikat kita mesti terus melabur dalam modal insan mereka dan memupuk inovasi melalui pendidikan dan latihan. Pelaburan dalam meningkatkan kemahiran tenaga kerjanya akan membantu syarikat Malaysia kekal berdaya saing dengan membangunkan kemahiran dan teknologi inovatif untuk mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran domestik dan antarabangsa,” katanya.

Malaysia juga mesti mengekalkan komitmennya terhadap pembangunan mampan, yang penting untuk pembangunan dan kejayaan jangka panjang negara dalam persekitaran perdagangan global yang berkembang pesat, katanya.

— BERNAMA

Sumber

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button