Berita

Barisan Kabinet Sabah Yang Baru Diseru Bersatu

74views

KOTA KINABALU, 8 Okt  — Barisan kabinet baharu Sabah perlu bersatu dan bekerjasama agar segala janji semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini dapat ditunaikan sebaik mungkin, kata Datuk Ellron Angin yang mengangkat sumpah sebagai Menteri Belia dan Sukan Sabah hari ini.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook itu berkata sekiranya barisan kabinet Sabah tidak mampu bekerjasama, maka semua “Aku Janji” dan masalah yang dihadapi rakyat gagal selesaikan.

“Apa yang saya lihat komposisi dalam barisan kabinet ini mengambil kira semua parti yang membentuk kerajaan baharu Sabah iaitu Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

“Sekiranya melihat barisan kabinet baharu ini, saya yakin ia satu gabungan yang kuat, namun kalau tidak bersatu dan bekerjasama ia akan menjadi satu masalah di kemudian hari,” katanya kepada Bernama selepas Majlis Angkat Sumpah Kabinet Negeri Sabah di Istana Negeri, di sini hari ini.

Sementara itu, ADUN Tanjung Keramat Shahelmy Yahya yang dilantik Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejateraan Rakyat Sabah berkata gabungan orang lama dan baharu dalam kabinet negeri dilihat mampu membangunkan lagi negeri Sabah.

“Saya berterima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor kerana memberikan kepercayaan kepada saya untuk memikul tanggungjawab ini dan saya berjanji akan buat yang terbaik,” katanya.

Bagi Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah yang baharu dilantik Datuk Jafry Ariffin, portfolio berkenaan akan digalas sebaiknya dalam usaha memperkasakan lagi sektor pelancongan negeri yang kini terkesan akibat penularan pandemik COVID-19.

Buat masa ini, Jafry yang merupakan ADUN Sukau, berhasrat untuk memberi tumpuan kepada usaha memacu sektor pelancongan domestik, selain memperkemaskan lagi kemudahan pelancongan di setiap destinasi tumpuan pengunjung di Sabah.

“Saya juga amat bersimpati dengan pengusaha-pengusaha sektor pelancongan di Sabah yang terkesan akibat COVID-19. Kepada mereka yang terlibat dalam industri ini termasuk golongan belia, kerajaan negeri akan memastikan mereka dibantu,” katanya.

Mengenai barisan Kabinet negeri baharu, Jafry yakin kesemua gabungan muka lama dan baharu mampu membawa Sabah ke arah lebih cemerlang.

Keyakinan sama turut disuarakan ADUN Klias Datuk Isnin Aliasnih yang berkata barisan Kabinet baharu ini diyakini mampu membawa perubahan dalam landskap pembangunan Sabah sekali gus memastikan kesemua menteri dilantik bekerja untuk rakyat.

Beliau yang juga Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Pembantu Menteri Kewangan II Sabah turut memberi jaminan akan menggalas peranan itu sebaiknya termasuk memastikan semua permasalahan berbangkit dapat diselesaikan.

Sementara itu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan pelantikan julung kalinya terdapat wakil PAS iaitu Dr Aliakbar Gulasan sebagai ADUN dilantik membuka lembaran baharu kepada PAS Sabah bagi menjalin hubungan yang lebih erat dengan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik di Sabah.

“Sesungguhnya keberadaan PAS di Sabah sejak lebih 35 tahun adalah bukti kesungguhan PAS dalam usaha memperkukuh perpaduan, menyemarak pendidikan dan membela kebajikan rakyat, merentasi kaum dan fahaman agama, “ katanya dalam kenyataan di sini.

—  BERNAMA

Source link

Leave a Response