Berita

Bekalan Gas Perubatan Oksigen Mencukupi Setakat Ini -.Adham

169views

Beliau berkata masih terdapat 20,000 unit silinder mudah alih dalam simpanan dan boleh digunakan pada bila-bila masa, manakala pihak pembekal mempunyai kemampuan untuk menghasilkan bekalan cecair oksigen lima kali ganda daripada permintaan sedia ada.

“Peningkatan kes COVID-19 yang tinggi pada ketika ini menyebabkan penggunaan gas perubatan oksigen meningkat secara mendadak.

“Pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dari semasa ke semasa mengadakan sesi libat urus bersama pihak pembekal dalam menangani isu pertambahan keperluan bekalan gas perubatan oksigen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, sekiranya berlaku kes-kes kecemasan atau luar jangka, pihak pembekal masih mempunyai sebanyak 500,000 unit silinder mudah alih gas industri yang boleh diubah suai dalam tempoh yang singkat mengikut piawaian untuk kegunaan gas perubatan oksigen.

Hari ini, negara merekodkan 6,320 kes baharu COVID-19 dengan 652 kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) termasuk 370 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Mengulas lanjut, Dr Adham berkata pengurusan sistem gas perubatan oksigen di Malaysia dan di fasiliti kesihatan khususnya adalah mematuhi Malaysian Standard (MS2675:2017 dan MS2542:2013) serta piawaian antarabangsa yang berkaitan serta dikendalikan kakitangan yang kompeten.

Beliau berkata pembekalan gas perubatan oksigen ke fasiliti-fasiliti kesihatan adalah secara berkala mengikut jadual yang ditetapkan serta pihak pembekal berkemampuan memenuhi permintaan pembekalan di luar jangka.

“Pihak KKM sentiasa berterusan memantau pengurusan sistem gas perubatan di fasiliti kesihatan supaya tidak menjejaskan pengoperasian klinikal di fasiliti kesihatan,” katanya yang mengakhiri kenyataan dengan tanda pagar #KITA MESTI MENANG.– BERNAMA

Source link