Bekalan makanan negeri terjejas banjir stabil, terkawal

KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) — Bekalan makanan di negeri terjejas banjir masih stabil dan terkawal setakat ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Beliau berkata berdasarkan laporan diterima kementerian itu, pihaknya mendapati berlaku peningkatan terhadap harga sayur-sayuran tempatan.

“Isu itu saya juga minta pegawai penguat kuasa pastikan ia tidak berlaku penyorokan atau penyimpanan menjurus kepada pencatutan harga dan setakat ini, kita dapati ia (bekalan sayur) berkurangan atas sebab cuaca khususnya di negeri Pantai Timur,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Salahuddin turut mengumumkan kementerian itu akan menggerakkan bantuan bank makanan bermula hari ini kepada mangsa banjir dengan tumpuan pemberian makanan sedia dimasak.

Beliau juga berkata buat masa ini, pihaknya tidak menerima aduan mengenai pencatutan harga barangan sebaliknya mendapat aduan mengenai kekurangan bekalan barangan di sesetengah kawasan, dan telah mengerakkan pegawai penguat kuasa bagi membuat semakan dan rondaan.

“Isu ini kita tak kategorikan sebagai satu kesalahan serius sebab pasar raya sama ada pasar raya besar atau supermarket, mereka mengadakan kawalan dalaman nanti kalau letak longgok (bekalan) semula, dikhuatiri akan berlaku serbuan atau pembelian panik,” katanya.

Menurut beliau peniaga lazimnya dapat menjalankan kawalan bekalan yang munasabah di premis masing-masing, tetapi jika berlaku sorok atau mengaut keuntungan berlipat ganda, pegawai penguat kuasa akan mengambil tindakan serta-merta.

— BERNAMA

Sumber

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button