
Bekalan telur ayam di P.Pinang mencukupi
GEORGE TOWN, 23 Dis (Bernama) — Bekalan telur ayam pulih sekitar 70 peratus dan mencukupi untuk pengguna di Pulau Pinang, terutamanya bagi memenuhi permintaan tinggi menjelang musim perayaan Krismas, menurut Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, S. Jegan.
Beliau berkata berdasarkan pemantauan yang dilakukan setiap hari oleh KPDN Pulau Pinang, didapati rata-rata pemborong mampu mengeluarkan semua gred telur ayam, manakala hanya segelintir peruncit yang mengalami gangguan bekalan telur ayam.
“Semasa sesi ‘walkabout’ di pasar raya Sam’s Groceria di Straits Quay, kami dapati bekalan telur ayam mencukupi kerana mereka meraih bekalan dua kali seminggu,” katanya kepada pemberita semasa sesi tinjauan mesra dan pemantauan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2022 hari ini.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Abdul Halim Hussain berkata menjelang sambutan Krismas, Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) akan dilaksanakan bagi mengelak sebarang kenaikan harga pada musim perayaan yang akan datang.
“Sebanyak enam jenis barangan telah diwartakan bagi pelaksanaan SHMMP Krismas 2022 di Semenanjung Malaysia iaitu daging kambing import import, tomato, lada benggala hijau, kobis bulat import (China dan Indonesia), lobak merah, dan ubi import (China).
— BERNAMA