Berita

Bekas Menteri Didakwa Pecah Amanah

108views

KUALA LUMPUR, 21 Julai — Seorang Ahli Parlimen yang juga bekas menteri bakal didakwa jam 9 pagi esok di Mahkamah Sesyen Rasuah, Jalan Duta, di sini berhubung penyelewengan dana lebih RM1 juta wang peruntukan sebuah parti politik.

Menurut sumber, bekas menteri itu dijangka berhadapan dua pertuduhan di bawah seksyen 403 dan 405 Kanun Kesiksaan iaitu kesalahan pecah amanah jenayah.

Jumlah keseluruhan penyelewengan yang dianggarkan berjumlah RM1.12 juta membabitkan wang milik parti politik yang mana beliau adalah ketua pemuda parti berkenaan.

Beliau juga dijangka turut dituduh di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, dalam masa terdekat.

Siasatan ke atas Ahli Parlimen ini telah dijalankan sejak Jun 2020 selepas menerima aduan berhubung kehilangan wang berjumlah RM250,000 dalam simpanannya.

Beliau sebelum ini mendakwa wang yang hilang di rumahnya di Petaling Jaya itu adalah wang peribadi milik beliau dan ibu bapanya.