info@rakyat.my
Friday, June 18, 2021
Berita

Bekas Pemain Selangor Tuntut Lot Tanah Yang Dijanjikan

33views

PETALING JAYA, 11 Nov — Setelah 25 tahun menanti, skuad Selangor musim 1995 hari ini bersuara menuntut hak berupa lot tanah yang dijanjikan sebagai ganjaran selepas berjaya menamatkan kemarau sembilan tahun tanpa kejuaraan apabila merangkul Piala Malaysia pada musim itu.

Bekas ketua pasukan Selangor Ismail Ibrahim mendakwa ganjaran itu dijanjikan secara lisan oleh Menteri Besar ketika itu, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib, dan diamanahkan kepada pengurus pasukan Datuk Md Aini Taib untuk menguruskannya.

Beliau berkata seramai 31 individu terdiri daripada pemain dan pegawai pasukan dijanjikan sebidang tanah dan pengumuman itu dibuat pada malam sambutan kejayaan Selangor menjuarai Piala Malaysia pada 15 Nov 1995.

“Kami difahamkan pengumuman itu dibuat hasil Mesyuarat Bulanan Exco Kerajaan Negeri Selangor pada pagi hari tersebut.

“Kami selaku pemain adalah pihak yang menerima ganjaran manakala Datuk Md Aini individu yang diamanahkan untuk mengurus anugerah itu bagi pihak kami tetapi anugerah itu masih belum kami terima sehingga kini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Turut hadir bekas penolong jurulatih Datuk K. Rajagobal, bekas pemain Asmawi Bakiri dan isteri kepada bekas pemain Allahyarham Anuar Abu Bakar, Siti Mariam Sathawee.

Asmawi pula meminta pihak bertanggungjawab tampil dan memberi penjelasan mengenai status ganjaran itu sekali gus menyelesaikan perkara tersebut.

“Kami berharap agar tuntutan ini dipertimbangkan dengan mengambil kira usaha gigih, keringat dan pengorbanan kami sepanjang pembabitan mengharumkan bola sepak Selangor,” katanya.

Siti Mariam pula mengaku terkilan apabila mengenangkan Allahyarham Anuar yang sering menyebut mengenai ganjaran itu sehingga ke akhir hayatnya dan menyifatkan anugerah tersebut amat bermakna kepada keseluruhan pasukan.

Selangor muncul juara Piala Malaysia buat kali ke-28 musim itu selepas menewaskan Pahang 1-0 di Stadium Shah Alam dan berjaya mempertahankan gelaran itu pada dua musim berikutnya.

— BERNAMA

Source link