BeritaSukan

Bekas Pengarah Teknikal AFC, KLFA Subramaniam meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 31 Ogos — Arena bola sepak tanah air kehilangan satu lagi ikon hari ini, dengan pemergian bekas Pengarah Teknikal Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), S. Subramaniam.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan malam ini berkata mendiang yang juga merupakan bekas jurulatih pasukan Kuala Lumpur dan tenaga pengajar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), meninggal dunia pada usia 85 tahun, petang tadi.

Subramaniam yang menerima anugerah Gold Service AFC pada 2011, dikenang sebagai individu penting di sebalik program pembangunan remaja KLFA yang melahirkan antara lain Azrul Amri Burhan, Azmin Azram Abdul Aziz dan T. Gopinath Naidu.

“Dengan rekod sebagai jurulatih Piala Burnley untuk Selangor, penolong jurulatih skuad kebangsaan Dave McLaren, penolong jurulatih skuad Harimau serta jurulatih Kuala Lumpur 1981-1984 dan 1993 sebelum dilantik Pengarah Teknikal AFC pada 1993, Subramaniam meninggalkan legasi sebagai pakar pembangunan.

“Beliau yang menjadi sebahagian daripada anggota Kumpulan Pengkaji Teknikal FIFA di Piala Dunia 1998, turut meletakkan batu asas kepada garis panduan kejurulatihan AFC di pelbagai peringkat untuk dijadikan rujukan dan modul latihan bagi jurulatih kejurulatihan peringkat AFC bermula 1990,” menurut FAM dalam kenyataan di Facebook.

Sementara itu, wartawan sukan veteran Tony Mariadass berkata Subramaniam telah memainkan peranan penting dalam membawa bekas Pengarah Teknikal FAM mendiang Richard Bate dan bekas jurulatih kebangsaan mendiang Dr Josef Venglos ke Malaysia.

“Seorang bekas guru sekolah …beliau adalah insan yang bertanggungjawab membawa Serbegeth Singh dari Johor ke Kuala Lumpur di bawah bimbingan Allahyarham Tan Sri Elyas Omar.

“Subramaniam kemudiannya adalah Pengarah Teknikal KLFA dan bertanggung jawab besar terhadap program akar umbi persatuan yang sangat berjaya. Beliau juga bekerjasama dengan FAM dan AFC dalam aspek teknikal,” katanya.

— BERNAMA

Source link

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button