Berita

Belanjawan 2021: APMM, PDRM perlu tambah aset tangani isu migran

119views

KUALA LUMPUR, 4 Nov  — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerlukan penambahan aset untuk menangani isu migran dengan lebih berkesan dalam Belanjawan 2021 yang akan dibentang pada Jumaat ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata ini berikutan pelbagai kaedah dan cara yang digunakan tekong untuk membawa masuk migran ke dalam negara melalui lorong-lorong tikus.

“Oleh itu, kerajaan diminta memikir semula aset-aset di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN). Kita ingin untuk melakukan pertambahan bot dan kapal yang kita ada, begitu juga di darat kerana kita tahu tekong-tekong ini sudah bersedia dengan kenderaan yang kadangkala lebih canggih daripada kita.

“Bukan hanya dengan kenderaan yang baharu sahaja, kita juga ingin menggunakan alat-alat teknologi terkini seperti dron dan radar tertentu untuk mengetahui kawasan lorong-lorong tikus yang digunakan oleh mereka ini,” katanya dalam program Bicara Naratif: COVID-19 Isu Keselamatan Dalam Negara di TV1, RTM malam ini.

Selain itu, beliau berkata bagi menangani isu pemalsuan kad pengenalan dan dokumen perjalanan dalam kalangan warga asing, kementerian akan menambah baik sistem di bawah Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara.

Hamzah berkata sistem imigresen yang canggih memerlukan sistem pendaftaran yang juga canggih.

“Sekarang ini permohonanan seperti visa semuanya melalui dalam talian dan kita memerlukan sistem yang lebih canggih supaya dapat menentukan orang yang memasuki negara adalah orang yang mempunyai passport yang sah atau tidak.

“Jika kita dapat menggunakan teknologi cap jari sebelum ini, sudah tentu ia boleh dilakukan melalui ‘Digital ID’ supaya kita dapat memastikan tidak berlaku lagi pemalsuan,” katanya.

Beliau berkata setelah hampir dua tahun perancangan dilakukan untuk menambah baik sistem ini, kementeriannya akan mengumumkan syarikat yang berjaya mendapatkan tender itu tidak lama lagi.

Katanya dengan kapasiti penjara di Malaysia yang telah pun melebihi 34.94 peratus iaitu 70,976 orang, kementerian itu perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan memikirkan cara untuk membendung virus tersebut.

— BERNAMA

Source link