info@rakyat.my
Thursday, June 17, 2021
Berita

Belanjawan 2021 Bakal Disuntik ‘Semangat’ PRIHATIN, PENJANA

86views

KUALA LUMPUR, 10 Okt — Belanjawan 2021 yang tidak akan mempunyai banyak perbezaan dengan belanjawan terdahulu, akan disuntik dengan inisiatif yang sama dengan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

“Belanjawan negara juga masih akan didasari oleh aspek-aspek termasuklah pekerjaan dan pendapatan rakyat,” kata Profesor Dr Jamal Othman dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, semalam.

Beliau berkata tumpuan kerajaan tidak akan secara langsung kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Dengan penularan pandemik COVID-19, saya fikir isu pertumbuhan ekonomi bukan sesuatu yang menjadi keutamaan tetapi yang paling penting ialah melindungi keupayaan kita untuk meneruskan kehidupan yang amat berkaitan dengan pendapatan,” katanya.

Jamal mengunjurkan defisit belanjawan akan bertambah daripada 5.5 peratus kepada enam peratus, sesuatu yang bukan luar biasa berikutan situasi ekonomi global yang mencabar pada tahun ini berikutan COVID-19.

Katanya ekonomi negara yang terbuka lebih teruk terjejas dan ini dapat dilihat dari segi penurunan jumlah eksport negara, menyebabkannya terpaksa bergantung kepada penggunaan domestik.

Malangnya, katanya ia turut terjejas apabila rakyat kehilangan pekerjaan.

Bagaimanapun, beliau berkata kadar pengangguran semakin berkurangan membuktikan pelaksanaan inisiatif PRIHATIN dan PENJANA yang menggerakkan semula ekonomi negara menunjukkan hasil positif.

Kadar pengangguran turun kepada 4.7 peratus pada Julai, selepas berada pada paras 4.9 peratus pada bulan sebelumnya.

Setakat 25 September, kerajaan telah menyalur dan membuat pembayaran berjumlah RM122.7 bilion di bawah pakej PRIHATIN.

— BERNAMA

Source link