info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Belanjawan 2021: Belanjawan Paling Mencabar Dalam Persekitaran Yang Tidak Menentu

77views

Oleh Nurul Jannah Kamaruddin

KUALA LUMPUR, 1 Nov — Belanjawan 2021 dijangka akan menjadi belanjawan yang paling mencabar dalam persekitaran ketidaktentuan, lebih banyak petunjuk pemulihan ekonomi lebih jelas diperlukan bagi mengukuhkan ringgit.

Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Izuan Ahmad berkata pengukuhan ringgit akan bergantung pada faktor kejayaan sebenar berkaitan dengan pembendungan pandemik COVID-19.

“Ketika ini, sukar untuk menilai potensi momentum kenaikan ringgit, walaupun dapat menjadi lebih jelas apabila data dan angka ekonomi terbaharu diterbitkan, sebahagian besarnya dijangka akan berada dalam kedudukan yang lebih baik susulan  Malaysia kini sedang dalam proses pemulihan ekonominya,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata ringgit yang lemah berbanding dolar US akan meningkatkan sektor eksport Malaysia dan ia pasti memberi manfaat kepada penggiat dalam industri seperti pengeluar sarung tangan getah yang juga memacu meningkatkan permintaan di peringkat global kerana pandemik tersebut.

Selain itu, ia akan memberi kesan sebaliknya kepada mereka yang bergantung pada bahan atau bahagian yang diimport.

“Justeru, Belanjawan 2021 yang akan menyediakan langkah-langkah bagi mengatasinya akan bertindak dalam dua cara dalam persekitaran keadaan ekonomi dan kewangan yang tidak menentu tetapi bergantung kepada momentum kenaikan atau penurunan mata wang tempatan.

“Untuk tempoh baki tahun 2020, prestasi perdagangan luar akan terus berada dalam kedudukan mencabar kerana pandemik COVID-19 di seluruh dunia,” katanya.

Walaupun terdapat beberapa kes pemulihan di seluruh dunia, Izuan berkata masih ada risiko penurunan baharu berikutan kes baharu di kebanyakan negara, antaranya adalah rakan dagang penting bagi Malaysia, termasuk Amerika Syarikat (AS) dan China.

Sehubungan itu, permintaan yang berkurangan dapat mempengaruhi prestasi perdagangan luar negara secara keseluruhan menjelang akhir tahun, banyak firma penyelidikan menunjurkan kemerosotan dalam prestasi eksport.

Secara keseluruhan, Belanjawan 2021 dijangka akan menjadi belanjawan paling mencabar sejak beberapa tahun lepas kerana sukar untuk kerajaan menghasilkan belanjawan yang sempurna dalam persekitaran yang tidak menentu dan diburukkan lagi dengan ketidakstabilan politik, katanya.

“Sehubungan itu, langkah-langkah diperkenalkan pada Belanjawan 2021 akan tertumpu kepada kesejahteraan rakyat dan segmen yang terkesan akibat pandemik COVID-19,” katanya.

Belanjawan Malaysia 2021 akan dibentangkan pada hari Jumaat ini (6 November) selepas ditangguhkan daripada tarikh asal yang ditetapkan pada 2 Oktober.

Ringgit melonjak kepada 4.13 berbanding dolar US pada 15 September, paras tertinggi dicatatkan dalam tempoh tujuh bulan.

Setakat ini, unit tempatan bergerak sekitar 4.14 hingga 4.16 berbanding dolar US dalam persekitaran ketidaktentuan menjelang pilihan raya Amerika Syarikat pada 3 November ini.

Pada bulan September, lebihan dagangan Malaysia meningkat 149.3 peratus tahun ke tahun kepada RM21.97 bilion, lebihan dagangan tertinggi direkodkan bagi bulan tersebut.

Jumlah perdagangan berkembang 5.5 peratus kepada RM155.88 bilion pada bulan tersebut berbanding September 2019 dengan eksport melonjak dengan pertumbuhan dua digit 13.6 peratus kepada RM88.93 bilion, manakala import menurun 3.6 peratus kepada RM66.96 bilion .

Bagi suku ketiga 2020, imbangan lebihan perdagangan meningkat kepada RM60.4 bilion daripada RM27.6 bilion pada suku kedua, mewakili pertumbuhan 68.4 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

— BERNAMA

Source link