Berita

Belanjawan Sabah 2021 fokus pulih ekonomi dan sektor terjejas COVID-19

65views

KOTA KINABALU, 16 Nov  — Belanjawan Sabah 2021 antara lain akan memberi fokus utama kepada usaha pemulihan semula ekonomi negeri termasuk memacu pembangunan sektor yang terjejas akibat pandemik COVID-19, kata Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.

Ketika memberi bayangan kerangka belanjawan negeri yang dijadual dibentangkan pada 18 Dis ini, beliau berkata kerajaan negeri komited untuk memastikan setiap perancangan dan keutamaan yang digariskan dalam belanjawan itu berupaya membawa Sabah terus bergerak maju pada tahun depan.

“Kita berharap wabak ini akan berakhir atau (jumlah kes) menurun sekurang-kurangnya pada awal tahun depan. Justeru, kerangka belanjawan kita ialah tertumpu untuk membangunkan semula ekonomi Sabah. Dalam aspek ini, banyak sektor perlu diberi perhatian, sektor pelancongan umpamanya.

“Kita perlu uruskan dengan betul dan semoga akan lebih ramai pelancong datang ke Sabah selepas berakhirnya wabak ini. Selain itu, kita akan menumpukan kepada pembangunan lain seperti infrastruktur, pertanian dan industri yang terjejas akibat COVID-19,” katanya dalam rancangan Bicara Naratif terbitan RTM 1 malam ini.

Mengulas lanjut, Hajiji berkata Belanjawan Sabah 2021 juga akan memberi fokus ke arah memperkemaskan lagi jentera pentadbiran kerajaan negeri bagi memastikan segala kerangka pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lebih efisien.

“Saya akan mengumumkan satu garis panduan, fokus dan hala tuju kerajaan negeri tidak lama lagi. Apa yang kita ingin lakukan adalah untuk memastikan ekonomi Sabah tumbuh dan rakyat akan dapat manfaatnya, mewujudkan peluang pekerjaan dan banyak lagi perkara yang menjadi keperluan kepada Sabah,” katanya.

Mengenai Belanjawan Persekutuan 2021 yang dibentangkan pada 6 Nov lepas, Hajiji berkata kerajaan negeri berharap kerajaan Persekutuan akan memberi peruntukan besar kepada Sabah terutama dalam usaha memperbaiki mutu fasiliti kesihatan di negeri itu khususnya dalam mendepani gelombang ketiga pandemik COVID-19.

Beliau berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri COVID-19 telah mengenal pasti Jabatan Kesihatan Negeri Sabah berdepan banyak kekangan termasuk peralatan perubatan selain memerlukan peruntukan untuk pembelian reagen, kit saringan dan bahan guna habis.

Katanya ini penting bagi membolehkan perkhidmatan kesihatan terbaik diberikan kepada rakyat Sabah sekali gus usaha menangani penularan pandemik tersebut di negeri itu.

“Ia memerlukan satu peruntukan agak besar yang perlu diberikan kepada Sabah. Saya yakin Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri COVID-19 telah mengemukakan keperluan ini kepada Kerajaan Persekutuan dan kita harap ia dipertimbangkan untuk kelulusan,” katanya.

Hajiji turut mengingatkan rakyat Sabah agar terus berdisiplin dan mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan kerajaan bagi memutuskan rantaian COVID-19.

— BERNAMA

Source link