Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaBeri keutamaan kepada keselamatan makanan - YDP Pulau Pinang

Beri keutamaan kepada keselamatan makanan – YDP Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 27 Mei (Bernama) — Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak berharap jaminan keselamatan makanan perlu menjadi keutamaan kerajaan negeri dalam memastikan sumber makanan penduduk berada pada tahap yang optimum.

Dalam ucapan perasmiannya pada pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ke-14 hari ini, Ahmad Fuzi berkata perkara itu wajar diberi tumpuan demi menjamin pengguna mendapat bekalan makanan yang selamat, mencukupi dan bersih.

“Berdasarkan Indeks Harga Pengguna Malaysia yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan, inflasi negara pada Mac 2022 meningkat 2.2 peratus kepada 125.6 berbanding 122.9 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

“Peningkatan inflasi Pulau Pinang adalah pada kadar 2.2 peratus iaitu sama dengan inflasi negara dan kumpulan Makanan dan Minuman Bukan Alkohol mencatatkan kenaikan 3.5 peratus disebabkan oleh kenaikan harga makanan di luar rumah pada Mac 2022 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya,” katanya.

Berikutan itu, Ahmad Fuzi berkata program keselamatan makanan wajar diberikan tumpuan agar Pulau Pinang dan penduduknya dapat mendepani cabaran inflasi ataupun hiperinflasi yang menjadi topik hangat perbincangan penganalisis ekonomi masa ini.

“Walaupun negeri kita ini tidak mempunyai tanah pertanian yang luas seperti negeri lain di Malaysia, kita mampu meningkatkan produktiviti tanaman melalui penggunaan varieti tanaman yang mengeluarkan hasil tinggi dalam tempoh masa yang singkat, penggunaan input pertanian yang menggalakkan pertumbuhan, dan aplikasi teknologi moden yang tidak menggunakan tanah sebagai media tanaman,” katanya.

Menurut Ahmad Fuzi, bagi memastikan kelestarian dan transformasi sektor pertanian ini, peranan dan penyertaan aktif syarikat swasta amat diperlukan terutama bagi pertanian berskala besar dan berteknologi tinggi.

Beliau berkata sektor swasta juga bertindak sebagai ejen perubahan atau pemangkin sektor pertanian yang moden, dinamik dan berdaya saing.

“Namun demikian, pelaburan swasta dalam industri agromakanan masih kurang jika dibandingkan dengan industri perladangan, pembuatan dan perkhidmatan. Dalam hal ini, kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri adalah penting bagi mengenal pasti ruang dan peluang pembangunan sektor pertanian,” katanya.

Ahmad Fuzi turut mencadangkan agar Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri berbahas mengenai usaha meningkatkan sektor makanan dalam persidangan kali ini dan memberi cadangan bernas bagi membolehkan kerajaan negeri mengambil tindakan yang konklusif dan langkah jangka panjang untuk mengatasi masalah.

Selain itu, beliau berkata kerjasama yang erat antara kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan adalah penting untuk memastikan projek pembangunan dan infrastruktur yang dirancang dilaksanakan mengikut garis masa yang ditetapkan supaya rakyat dapat menikmati manfaatnya.

“Di bawah Rolling Plan Kedua (RP2), Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) Tahun 2022, sebanyak 189 projek di negeri Pulau Pinang disenaraikan merangkumi 163 projek fizikal dan 26 projek bukan fizikal, dengan peruntukan Persekutuan yang diluluskan untuk Pulau Pinang adalah berjumlah RM997 juta iaitu bersamaan dengan 1.3 peratus peruntukan pembangunan negara,” katanya.

Beliau berkata dengan mengambil kira sumbangan Pulau Pinang kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara serta prestasi pelaburan negeri baru-baru ini, maka wajarlah kerajaan Persekutuan mempertimbangkan peruntukan pembangunan yang lebih tinggi untuk negeri ini.

Terdahulu, Ahmad Fuzi telah memeriksa kawalan kehormatan utama daripada Pasukan Simpanan Persekutuan Negeri Pulau Pinang, yang terdiri daripada tiga pegawai dan 102 anggota lain-lain pangkat yang diketuai oleh DSP Mohd Hakim Mohd Said sempena perasmian sidang DUN kali ini.

— BERNAMA

Sumber

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular