Beri ruang, peluang kepada Anwar tadbir negara

ALOR GAJAH, 26 Dis (Bernama) — Beri ruang dan peluang kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melaksanakan tanggungjawabnya mentadbir negara, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka Adly Zahari.

Timbalan Menteri Pertahanan itu berkata beliau yakin Anwar mampu memimpin negara berdepan jangkaan ketidaktentuan ekonomi global pada tahun depan, berdasarkan kemampuan serta pengalaman Perdana Menteri ke-10 itu.

“Saya cukup yakin beliau boleh membawa Malaysia ke hadapan dalam tempoh-tempoh yang bagi saya sukar juga kerana kita menghadapi isu-isu ekonomi.

“Sepatutnya kita rakyat Malaysia memberikan ruang dan peluang kepada Anwar serta paling penting sokongan dan dorongan untuk perdana menteri membawa Malaysia ke satu tahap lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada Lai Hua Kiong, 54, dan Tai Seng Fui, 63, di Kampung Machap Baru di sini yang masing-masing kehilangan empat ahli keluarga dalam insiden tanah runtuh di Batang Kali, Selangor baru-baru ini.

Semalam, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan menyatakan kebimbangannya mengenai kemampuan Anwar untuk berdepan krisis kemelesetan ekonomi dan cabaran pemulihan pascapandemik berdasarkan pandangannya terhadap prestasi Ahli Parlimen Tambun itu sebagai menteri kewangan lebih 20 tahun lepas.

Mengulas lanjut, Adly berkata semua kementerian dipertanggungjawabkan oleh perdana menteri bagi merangka pelan untuk meringankan beban masyarakat yang mungkin terkesan dengan jangkaan ketidaktentuan ekonomi itu.

“Malah kita di peringkat Kementerian Pertahanan pun membicarakan tentang bagaimana kita boleh mengurangkan beban dan kos sara hidup tentera dan veteran… maknanya kita sepakat di semua peringkat kementerian.

“Isu utama kita banyak berkait dengan kos sara hidup… memang kita dalam tempoh ini sentiasa mencari penyelesaian masalah dihadapi rakyat,” katanya.

— BERNAMA

Sumber

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button