info@rakyat.my
Monday, June 21, 2021
Berita

Berilah Kelonggaran Kepada Industri Perfileman – FINAS

95views

KUALA LUMPUR, 2 Feb — Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mohon Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberikan pertimbangan sewajarnya dengan membenarkan aktiviti penggambaran dijalankan dalam premis tertutup dan studio.

Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid berkata, permohonan itu berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dilanjutkan hingga 18 Februari ini di seluruh negara kecuali Sarawak.

“FINAS sudah mengambil langkah proaktif dengan memohon MKN memberikan kelonggaran dan membenarkan aktiviti penggambaran dijalankan di kawasan yang dikuat kuasakan PKP demi memastikan ekonomi industri kreatif tidak terjejas sejak awal pelaksanaan PKP 2.0.

“Kami juga sudah menghantar kertas cadangan prosedur operasi standard (SOP) penggambaran dalam studio kepada MKN melalui Bahagian Pembangunan Kandungan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM). Bagaimanapun, hingga kini, masih belum menerima apa-apa maklum balas MKN.

“Kita sedia maklum, industri kreatif digerakkan oleh penggiat industri yang kebanyakan bekerja secara sambilan. Tentunya, pelaksanaan PKP 2.0 sejak 13 Januari lalu memberi impak kepada sumber pendapatan berikutan aktiviti penggambaran tidak dibenarkan.

“Bebanan bertambah dengan perlanjutan tempoh PKP 2.0, ia akan memberi kesan lebih buruk, menjejaskan pendapatan dan berupaya melumpuhkan ekonomi industri kreatif sekiranya aktiviti penggambaran masih tidak dibenarkan beroperasi,” katanya dalam satu kenyataan, petang ini.

Sehubungan itu, FINAS berharap agar MKN memberikan pertimbangan dengan membenarkan penggambaran merangkumi drama, telefilem, livestreaming, dokumentari dan sitkom tanpa penonton berdasarkan beberapa asas pertimbangan.

“Pertama, industri kreatif antara sektor yang menjadi penyumbang pertumbuhan ekonomi dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Kedua, pelaksanaan PKP 2.0 sudah menjejaskan pendapatan dan ekonomi penggiat industri kreatif berikutan aktiviti penggambaran tidak dibenarkan di kawasan yang dikuat kuasakan PKP.

“Ketiga, pematuhan SOP ketat oleh penggiat industri kreatif ketika menjalankan aktiviti penggambaran sudah membuktikan semasa tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berikutan tiada kluster COVID-19 yang wujud berpunca daripada aktiviti penggambaran,” katanya.

Zakaria berkata, pihaknya sedia bekerjasama dengan MKN melalui pasukan penguat kuasa Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan FINAS bagi memantau dan memastikan pematuhan SOP sekiranya aktiviti penggambaran dibenarkan.

“FINAS optimis akan kewibawaan kerajaan dan MKN dalam mengimbangi cabaran ekonomi dan krisis kesihatan yang sedang dilalui.

“Justeru, FINAS berharap agar MKN dapat memenuhi permohonan membenarkan aktiviti penggambaran dijalankan di kawasan yang dikuat kuasakan PKP,” katanya.

Source Link