Berita

Berita-berita Ringkas Dewan Rakyat

104views

KUALA LUMPUR, 5 Nov — Berikut adalah berita-berita ringkas persidangan Dewan Rakyat hari ini:

Kementerian Kerja Raya (KKR) sentiasa melakukan kajian baharu mencari kaedah turapan terbaik bagi memastikan keadaan jalan raya sentiasa dalam keadaan baik dan selamat untuk pengguna.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata antaranya ialah kajian perintis beberapa kaedah baharu turapan jalan raya bagi memastikan kekukuhan jalan raya dan jangka hayat yang lebih panjang, antaranya Fiber Modified Asphalt (FFA), Polimer Modified Asphalt dan Stone Mastic Asphalt.

“Jika kaedah ini dapat dibuktikan menambah kekukuhan jalan raya, ia akan digunakan secara meluas nanti,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (UMNO-Baling) mengenai langkah kementerian dalam mengendalikan aduan rakyat berkenaan kerosakan jalan raya dan kualiti pembaikan jalan raya.

— BERNAMA

*************************************************************************************************************

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna melaksanakan 469,946 pemeriksaan dan pemantauan di premis perniagaan berkaitan bekalan dan harga di peringkat runcit, pemborong serta pengilang sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu dari 18 Mac hingga 3 Nov.

“Sebanyak 256,007 pemeriksaan khas pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKP di seluruh negara dilaksanakan dalam tempoh itu. Secara keseluruhan, sepanjang tempoh PKP, sebanyak 4,655 tindakan kes telah dihasilkan yang melibatkan nilai rampasan bernilai RM60,657,836,” kata menteri berkenaan Datuk Alexander Nanta Linggi pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri hari ini.

Nanta berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Cha Kee Chin (PH-Rasah) mengenai penguatkuasaan pemeriksaan KPDNHEP selepas pandemik COVID-19 dan pelaksanaan PKP bagi memastikan rantaian pengedaran serta logistik bagi barang-barang di pasaran kembali kepada normal.

— BERNAMA

*************************************************************************************************************

Program Food Bank Siswa yang diwujudkan bagi membantu penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) daripada keluarga golongan B40 berjaya membantu lebih 60,000 penuntut yang terkandas di IPT sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lepas.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata, selain itu, Program Food Bank Komuniti juga diperluaskan kepada lebih ramai golongan B40 dan golongan yang memerlukan.

“Sehingga Oktober 2020, seramai 622,726 ahli isi rumah menerima manfaatnya dan secara tidak langsung ia memanfaatkan sebanyak 2,301 tan metrik lebihan makanan yang jumlahnya dianggarkan lebih daripada RM11.5 juta,” katanya pada sesi soal jawab hari ini.

— BERNAMA

*************************************************************************************************************

Jabatan Peguam Negara sedang memuktamadkan laporan kajian pengasingan peranan pendakwa raya dan peguam negara termasuk cadangan pindaan kepada Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan untuk dibentang kepada jemaah menteri akhir tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Takiyuddin Hassan berkata inisiatif untuk mengasingkan peranan pendakwa raya daripada peguam negara merupakan satu daripada strategi di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 2016-2020 dan Pelan Antirasuah Nasional.

“Inisiatif ini diteruskan di bawah dasar kerajaan pada masa kini. Jabatan Peguam Negara adalah agensi penyelaras bagi inisiatif ini dan agensi pelaksana bagi strategi ini,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Khalid Abdul Samad (PH-Shah Alam) sama ada kerajaan merancang untuk meminda Artikel 145 Perlembagaan Persekutuan bagi memisahkan kuasa dan fungsi pendakwa raya daripada pejabat peguam negara bagi memastikan kuasa pendakwaan yang lebih telus dalam sistem keadilan Malaysia.

— BERNAMA

*************************************************************************************************************

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary menjelaskan restoran yang memaparkan ‘Pork Free’ bukan satu istilah yang menunjukkan bahawa premis itu halal atau menepati takrif halal mengikut peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa.

Susulan itu, beliau berkata masyarakat perlu sedar dan bijak memilih makanan atau premis yang disahkan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau Majlis Agama Islam Negeri.

“Buat masa ini undang-undang untuk mewajibkan Sistem Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) kepada pengusaha belum diwujudkan. Namun, Jakim dan pihak berkuasa kerajaan negeri bekerjasama dengan beberapa pihak berkuasa tempatan yang mengawal selia premis mewajibkan pensijilan halal di bawah bidang kuasa masing-masing,” katanya.

Beliau menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) yang meminta penjelasan kerajaan mengenai status ‘No Pork’ atau ‘Pork Free’ yang sering dipamerkan oleh restoran serta pelaksanaan perintah wajib halal daripada Jakim terutama bagi kedai makan dan restoran di lapangan terbang dan pasar raya.

— BERNAMA

Source link