Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaBerita Ringkas Sukan SEA ke-31

Berita Ringkas Sukan SEA ke-31

Daripada R. Vikneswaran

HANOI, 17 Mei (Bernama) — Berikut berita ringkas melibatkan atlet Malaysia di Sukan SEA Ke-31 di sini hari ini:

Skuad Badminton Temu Thailand

Malaysia bangkit dari ketinggalan menewaskan Singapura 3-2 pada aksi separuh akhir acara berpasukan, untuk bertemu Thailand pada akhir di Gimnasium Bac Giang, pada Rabu.

Shaqeem Eiman Shahyar muncul wira apabila meraih mata kemenangan dengan menewaskan Joel Koh 21-10, 21-17, bagi mengesahkan kemenangan Malaysia.

Terdahulu, perseorangan pertama negara Jacky Kok Jing Hong bukan tandingan kepada juara dunia Loh Kean Yew apabila tumpas 12-21, 12-21, manakala gandingan Man Wei Chong-Wan Arif Wan Junaidi terpaksa akur kepada Terry Hee Yong Kai-Loh Kean Hean, 19-21, 13-21.

Ketinggalan 0-2, pemain muda negara Lee Shun Yang mempamerkan prestasi terpuji dengan mencatat kemenangan 21-12, 21-23, 21-16 ke atas pemain lebih berpengalaman Singapura, Jason Teh Jia Heng 21-12, 21-23, 21-16.

Kemenangan pemain perseorangan kedua negara itu menaikkan semangat pasangan Chen Tang Jie-Mohd Haikal Nazri untuk menyamakan kedudukan, dengan mengatasi Andy Kwek Jun Liang-Danny Chrisnanta 21-17, 21-15, sebelum Shaqeem melengkapkan kemenangan bergaya Malaysia.

Thailand mara ke pentas akhir selepas mengejutkan juara bertahan Indonesia 3-2 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Pemain Golf beraksi cemerlang

Pemain golf lelaki dan wanita negara menampilkan aksi cemerlang apabila masing-masing mara ke final acara berpasukan di Heron Lake Golf Course & Resort hari ini.

Namun, skuad golf negara bakal berdepan cabaran apabila berdepan pasukan pilihan, Thailand pada penentuan pingat emas, esok.

Pada saingan separuh akhir hari ini, Ervin Chang yang meraih emas acara individu dua hari lepas, terus menampilkan aksi bertenaga apabila gandingannya bersama Marcus Lim berjaya menewaskan Indonesia 2-1 dalam kategori lelaki.

Sementara, Thailand yang merupakan juara bertahan dalam acara berpasukan lelaki menumpaskan Singapura, 3-0 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Jeneath Wong dan Mirabel Ting pula mengesahkan slot Malaysia ke akhir acara berpasukan wanita selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Singapura.

Lawan pemain negara adalah pasukan Thailand yang menempah slot ke akhir setelah menumpaskan Filipina dalam saingan playoff selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada satu lagi saingan separuh akhir.

Memanah Recurve : Pingat Dalam Genggaman

Skuad memanah recurve berpeluang untuk meraih sekurang-kurangnya sebutir perak, apabila gandingan dua Olimpian, Khairul Anuar Mohamad dan Syaqiera Mashayikh berjaya mara ke final recurve berpasukan wanita, selepas menewaskan wakil tuan rumah 5-4 pada pusingan separuh.

Pemanah negara juga berjaya mara ke aksi penentuan pingat gangsa bagi acara individu dan berpasukan lelaki, serta berpasukan wanita.

Pingat Perak dari Poomsae

Atlet taekwondo Jason Loo menyumbangkan pingat perak menerusi acara poomsae individu, selepas mencatatkan 7.732 mata.

Wakil tuan rumah Quoc Viet Pham merangkul emas dengan 8.049 mata, manakala Sippakorn Wetchakornpatiwong (7.566) dari Thailand dan Muhammad Alfi Kusuma (7.566), masing-masing membawa pulang emas dan gangsa.

Malaysia juga berjaya meraih gangsa acara berpasukan wanita dengan catatan 7.866 mata, dengan Vietnam (8.016) dan Thailand (7.882) masing-masing meraih dua kedudukan teratas.

Bagi kategori wanita pula, Nurul Hidayah Abdul Karim terlepas pingat gangsa apabila menamatkan saingan di kedudukan keempat, dengan mencatatkan 7.482 mata.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular