Berita

Berjaya Batalkan Perintah Tahanan Kerana ‘Muhyiddin’

107views

SHAH ALAM, 3 Apr — Mahkamah Tinggi di sini, hari ini membatalkan perintah penahanan yang ditandatangani Perdana Menteri yang menjalankan tugas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana tidak menggunakan nama dalam kad pengenalan (MyKad) iaitu Mahiaddin Md Yasin.

Keputusan itu dibuat selepas Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Norsharidah Awang, membenarkan permohonan habeas corpus difailkan pemohon, Awang Sari Lasikan, yang berasal dari Sabah.

Pada 9 Mac 2020, Awang Sari ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.

Terdahulu, peguam Muhammad Kamil Abdul Munim yang mewakili Awang Sari, ketika dihubungi, berkata mahkamah membatalkan perintah penahanan yang ditandatangani Muhyiddin tahun lalu kerana dikeluarkan atas nama yang tidak sama dengan nama diwartakan melalui Warta Kerajaan.

Katanya, perintah tahanan yang dikenakan terhadap pemohon adalah tahanan tanpa perbicaraan dan sebarang kesilapan utama berkaitan ejaan nama adalah ketidakpatuhan yang material bagi membolehkan satu writ habeas corpus dikeluarkan.

“Hari ini mahkamah memutuskan setiap keputusan eksekutif atau tindakan yang diambil oleh Perdana Menteri atau menteri harus menggunakan nama berkenaan dalam warta, iaitu nama dalam MyKad.

“Perintah penahanan ditandatangani dengan nama Muhyiddin dan bukan Mahiaddin, oleh itu mahkamah membenarkan permohonan habeas corpus kami,” katanya.

Pada prosiding itu, Awang Sari turut diwakili pasukan peguam Danial Amir dan Zafran Zahri, manakala Peguam Persekutuan, Muhammad Safuan Azhar bertindak sebagai responden Timbalan Menteri Dalam Negeri dan Penguasa Kanan Pusat Pemulihan Akhlak Simpang Renggam, Johor.

Source Link