Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaBidang penulisan kreatif wajar diperkenalkan secara menyeluruh

Bidang penulisan kreatif wajar diperkenalkan secara menyeluruh

JOHOR BAHRU, 18 Jun (Bernama) — Bidang penulisan kreatif wajar diperkenalkan secara lebih menyeluruh di semua peringkat dan lapisan masyarakat, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Beliau berkata ini kerana setiap karya penulisan kreatif seperti cerpen, mempunyai pelbagai nilai murni intrinsik dan ekstrinsik yang dapat diteladani oleh orang ramai menerusi pembacaan.

“Nilai-nilai seperti ini, jika dicerap melalui pembacaan akan membentuk kemahiran insaniah dan sahsiah diri yang tinggi kepada pembaca,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Noraini berkata penganjuran program Sayembara Cerpen Parit Sulong 2022 (SAMPEN) yang dirasmikannya hari ini juga berupaya menggilap penulis cilik untuk menghasilkan karya kreatif, sekali gus menggalakkan peserta untuk menzahirkan pemikiran kreatif dan kritis ke dalam bentuk penulisan berimpak positif.

Katanya program kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kementerian Pengajian Tinggi dan Pejabat Pendidikan Daerah Batu Pahat itu diadakan bertujuan memartabatkan bahasa kebangsaan sebagai lembayung ilmu kepada penulisan kreatif dan puitis.

“Kita pastinya berbangga apabila bahasa Melayu dikenali sebagai bahasa puitis, merdu dan unik. Tambahan pula, bahasa Melayu telah terbukti sekian lama dalam menyatupadukan pelbagai kaum di Malaysia.

“Walaupun rata-rata peserta lahir dalam era ‘millennial’ yang dipenuhi dengan gelombang modenisasi, namun kemegahan menggunakan bahasa Melayu untuk menyampaikan sesuatu idea masih dikekalkan,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman dalam kenyataan sama berkata sayembara itu bertepatan dengan aspirasi penubuhan UKM sebagai universiti watan yang meletakkan jati diri kebangsaan sebagai asas dalam menjulang semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat.

Pertandingan sayembara itu hanya terbuka kepada pelajar di kawasan Parlimen Parit Sulong, yang menyaksikan 32 sekolah kebangsaan dan lima sekolah menengah menyertainya.

Sebanyak 16 cerpen karya terbaik peserta sayembara akan dihimpunkan di dalam sebuah buku yang bertajuk Ceritera Kulawangsa Parit Sulong.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular