Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaBERNAMA - Infrastruktur, gunaan industri pemacu kejayaan digital di Asia Pasifik

BERNAMA – Infrastruktur, gunaan industri pemacu kejayaan digital di Asia Pasifik

Daripada Azizul Ahmad

SINGAPURA, 19 Mei (Bernama) — Kejayaan pelaksanaan usaha digital di negara-negara Asia Pasifik akan lebih ketara jika menumpukan tiga aspek penting — infrastruktur digital, penggunaan industri dan bakat atau pekerja digital, kata Pengerusi Huawei Ken Hu.

Ketika berkongsi pandangannya, beliau juga menyifatkan negara-negara Asia Pasifik telah mencatat kemajuan besar dari segi infrastruktur digital sebagaimana dinyatakan oleh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) mengenai liputan di rantau ini yang hampir mencecah 100 peratus.

“Ini satu pencapaian luar biasa sedangkan 10 tahun lepas, ada beberapa negara Asia Pasifik yang tidak mempunyai sebarang infrastruktur 3G atau 4G.

“Malah, Persatuan Sistem Global Bagi Komunikasi Mudah Alih (GSMA) menganggarkan Asia Pasifik akan mempunyai 1.2 bilion kesalinghubungan 5G menjelang 2025,” katanya dalam ucap tama di Persidangan Inovasi Digital Asia Pasifik Huawei 2022 di sini, hari ini.

Menurut Hu, selain aspek kesalinghubungan yang mantap, negara-negara rantau tersebut juga perlu membina infrastruktur penting seperti pengkomputeran awan dan pusat data.

Menyentuh aspek penggunaan industri, beliau berkata kalangan penggiat di Asia Pasifik terbukti gigih bagi memastikan kemajuan serta penerimagunaan digital secara lebih pantas.

“Ini terbukti telah dapat mewujudkan nilai sebenar. Thailand misalnya menggunakan 5G untuk menyampaikan perkhidmatan penjagaan kesihatan secara meluas di kawasan terpencil manakala di Filipina terdapat usaha menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan peranti dalam usaha membantu melindungi hutan.

“Oleh itu, kemungkinannya amat luas dan saya yakin setiap industri mampu mengenal pasti di mana dan bagaimana mereka dapat meraih manfaat teknologi digital untuk memenuhi keperluan khusus masing-masing,” katanya.

Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan bakat digital dengan jumlah tenaga kerja terbabit dijangka mencecah 2.2 bilion orang menjelang 2030.

“Berbanding rantau lain, tenaga kerja ini sebaliknya adalah golongan muda. Ini merupakan satu kelebihan dan kita sepatutnya lebih banyak melabur dalam generasi digital yang seterusnya,” katanya.

Hu berkata sebahagian besar negara-negara Asia Pasifik bertindak melonjakkan transformasi digital ke tahap dasar strategik dan berani mengambil tindakan terbabit.

“Ini misalnya dasar seperti MyDIGITAL di Malaysia, Digital Indonesia, Hab Digital di Thailand serta di Korea Selatan.

“Usaha sedemikian memacu pelaksanaan infrastruktur digital di serata rantau dan meletakkan asas kukuh bagi sebuah ekonomi digital yang mantap,” katanya.

Dalam pada itu, Hu berkata Huawei akan terus membuat pelaburan besar dalam inovasi bagi membantu rakan niaganya di Asia Pasifik memenuhi sasaran pembangunan strategik masing-masing.

“Pada 2022, Huawei akan meningkatkan sokongannya terhadap Asia Pasifik yang hijau serta digital dengan menggalakkan infrasruktur digital, pembangunan bercirikan karbon rendah serta kerangkuman digital,” katanya.

Persidangan dua hari bertemakan ‘Innovation Fr A Digital Asia Pacific’ di sini, menghimpunkan kalangan pemimpin industri, pihak berkepentingan, pelanggan utama dan organisasi dari serata rantau ini dengan kehadiran  1,000 orang di lokasi manakala lebih 30,000 peserta secara dalam talian.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular