Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaBERNAMA - Islamofobia di India boleh beri kesan kepada ASEAN

BERNAMA – Islamofobia di India boleh beri kesan kepada ASEAN

(Ini adalah berita kedua daripada siri tiga berita berdasarkan temubual dengan Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Saifuddin Abdullah di New Delhi sempena Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN-India baru-baru ini)

NEW DELHI, 20 Jun (Bernama) — Islamofobia di India boleh memberi kesan negatif di rantau Asia Tenggara dan di tempat lain, kata Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Beliau menegaskan bahawa negara-negara ASEAN mempunyai bilangan penduduk beragama Islam yang besar dan insiden Islamofobia di tempat lain boleh memberi kesan kepada rantau itu kerana berita tersebar dengan pantas pada masa kini.

“Perkara yang berlaku di India boleh memberi kesan. Jika kita tidak berhati-hati, ia boleh mencetuskan reaksi. Kita tidak mahu itu berlaku,” katanya.

Saifuddin berkata terdapat keperluan untuk menggalakkan persefahaman antara penganut yang berbeza agama dan mencadangkan Malaysia dan India bertindak ke arah itu di platform yang sama.

Beliau berkata Malaysia dan India harus bekerjasama dalam isu itu demi kepentingan hubungan sekian lama mereka, dan berhati-hati agar insiden seperti komen yang menghina Nabi Muhammad (SAW) yang dibuat oleh dua wakil parti pemerintah India baru-baru ini tidak berulang.

“Malaysia harus proaktif dalam menangani isu itu. Adalah lebih baik jika kita menangani isu itu bersama-sama dengan India,” Saifuddin memberitahu Bernama dalam temu bual semasa lawatannya ke India pada 15-17 Jun sempena Mesyuarat Menteri Luar ASEAN-India.

Malaysia adalah antara beberapa negara Islam yang membuat bantahan rasmi kepada India atas kenyataan yang menyinggung perasaan itu.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular