Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaBERNAMA - Kementerian Belia dan Sukan Sabah perlu cungkil lebih ramai atlet...

BERNAMA – Kementerian Belia dan Sukan Sabah perlu cungkil lebih ramai atlet pelapis

KOTA KINABALU, 16 Jun (Bernama) — Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor meminta Kementerian Belia dan Sukan Sabah untuk mencungkil lebih ramai bakat baharu bidang sukan bagi memastikan negeri itu tidak ketandusan atlet pelapis.

Beliau berkata ia boleh dilakukan dengan mengadakan pelbagai program atau pertandingan sukan di seluruh negeri.

Katanya kerajaan negeri komited memajukan bidang sukan dan dalam Belanjawan Sabah tahun ini sebanyak RM52.02 juta diperuntukkan bagi pembangunan sukan termasuk penyediaan prasarana dan kemudahan.

Menurutnya program pembangunan sukan bukan sahaja disasarkan untuk melahirkan rakyat yang sihat dan cergas, tetapi juga ke arah melakar nama negeri pada peringkat antarabangsa dalam bidang itu, selain melahirkan lebih ramai atlet muda di Sabah.

“Ramai atlet muda kita bersaing hingga ke peringkat antarabangsa dan pernah mengharumkan nama negara. Ini termasuklah pelayar negara, Rufina Tan, pemain golf negara Ben Leong dan terkini dua perenang negara Janetty John Fabian serta Loo Yie Bing.

“Kita juga ada atlet yang menang pingat emas di Sukan SEA di Hanoi baru-baru ini seperti Andre Anura  Anuar dalam acara lompat kijang; Jellson Jabilin akuatik terjun; Fatin Nur Fatehah Mat Salleh memanah dan Natasya Soon berbasikal,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Meraikan Pencapaian Atlet Sabah sempena  Temasya Sukan SEA Ke-31 Hanoi di Menara Kinabalu yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin.

Pada majlis itu, Hajiji menyampaikan replika cek insentif kemenangan berjumlah RM71,450 kepada 23 pemenang pingat dalam temasya itu.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular