Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaBERNAMA - KUSKOP sedia beri pinjaman kepada usahawan buku

BERNAMA – KUSKOP sedia beri pinjaman kepada usahawan buku

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) — Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sedia membantu usahawan buku yang memerlukan pinjaman sebagai usaha meringankan beban golongan itu.

Menterinya Tan Sri Noh Omar berkata bantuan seumpama itu wajar memandangkan pengoperasian industri buku memerlukan kos bagi menyediakan kemudahan pengangkutan seperti lori serta alat pencetakan.

“Usahawan-usahawan yang terlibat dalam dunia usahawan buku ini, insya-Allah saya sebagai menteri KUSKOP akan cuba memberikan bantuan semampu boleh,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022 (PBAKL) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), malam ini.

Menurutnya, terdapat syarikat pencetakan yang diberikan bantuan peralatan, mesin pencetak dan peralatan periklanan sehingga RM500,000 berbentuk geran.

“Jadi dengan agensi-agensi yang ada di bawah KUSKOP, saya mengharapkan bahawa usahawan-usahawan yang terlibat dengan dunia buku untuk tampil ke hadapan, anda semua adalah usahawan yang harus kita sokong,” katanya.

Sementara itu, Noh berkata usahawan buku yang terkesan dengan bencana banjir boleh memohon pinjaman sehingga RM100,000 tanpa faedah.

“Kita masih ada RM100 juta yang diberikan oleh kerajaan dan kalau ada golongan usahawan mikro yang terlibat dalam (bidang usahawan) buku dan sebagainya, yang masih terkesan dengan banjir, boleh datang berjumpa KUSKOP,” katanya.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular