Isnin, Mei 16, 2022
HomeBeritaOps HRA 2022: 35,618 kesalahan memandu melebihi had laju

Ops HRA 2022: 35,618 kesalahan memandu melebihi had laju

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) — Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesan sebanyak 35,618 kesalahan memandu melebihi had laju melalui kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS ) dalam Ops Hari Raya Aidilfitri (Ops HARA) setakat semalam.

JPJ di laman Facebook rasminya malam ini memaklumkan sepanjang tempoh itu sebanyak 4.7 juta kenderaan telah dikesan dan direkodkan melalui kamera AwAS di lebuh raya di seluruh negara sepanjang tujuh hari operasi berkenaan dijalankan bermula 29 April.

Kenyataan itu turut memaklumkan sebanyak 1.5 juta kenderaan telah melalui kamera AwAS di lampu isyarat dengan 10,355 kenderaan direkodkan melanggar lampu isyarat merah

“Kesalahan tidak mematuhi had laju dan melanggar lampu isyarat melalui kamera AwAS ini merupakan antara lima kesalahan utama dalam tempoh Ops HRA 2022 yang akan dikenakan tindakan mahkamah dan tidak boleh dikompaun.

Sekiranya disabitkan, boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 di bawah Seksyen 79 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, pengguna jalan raya yang melakukan kedua-dua kesalahan ini (melebihi had laju dan melanggar lampu isyarat merah) juga akan direkodkan dengan tindakan sehingga empat mata demerit berjadual di bawah Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA) bagi setiap kesalahan mengikut Subseksyen 40(1) atau Subseksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan.

Sistem mata demerit ini akan memberi kesan kepada penggantungan atau pembatalan lesen memandu.

Sebanyak 45 kamera AwAS telah beroperasi sepenuhnya membabitkan 29 kamera bagi tujuan memantau kesalahan melebihi had laju dan 16 kamera bagi kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat merah.

JPJ  menerusi kenyataan itu turut menyeru kepada semua pengguna jalan raya seluruh negara untuk terus mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi menjamin keselamatan semua seterusnya mengurangkan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya.

— BERNAMA

Sumber

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular