Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaBERNAMA - Pembayaran tanpa tunai telah meningkat 93 peratus di Asia Tenggara

BERNAMA – Pembayaran tanpa tunai telah meningkat 93 peratus di Asia Tenggara

KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) — Kajian oleh Visa mendapati sebanyak 93 peratus pengguna di Asia Tenggara (SEA) telah mula menggunakan pelbagai kaedah pembayaran tanpa tunai seperti kad, kad tanpa sentuh, teknologi mudah alih tanpa sentuh, dompet elektronik dan pembayaran kod QR.

Penemuan yang tertera dalam ‘Consumer Payment Attitudes Study 2022 : Navigating A New Era In Payments’ mendapati sikap ini diterajui oleh pengguna di Singapura (97 peratus), Malaysia (96 peratus), Indonesia (95 peratus) dan Vietnam (95 peratus).

Kajian itu juga mendapati semakin ramai pengguna memilih pembayaran tanpa tunai di pasaran yang mana wang tunai masih kekal dominan seperti Kemboja, Filipina dan Vietnam.

Sejak bermulanya pandemik, lebih separuh daripada pengguna Asia Tenggara telah mengurangkan kekerapan penggunaan wang tunai (56 peratus) dengan di Indonesia (68 peratus), Filipina (66 peratus) serta Malaysia (60 peratus).

“Kad tanpa sentuh dijangka akan mencatatkan pertumbuhan selanjutnya di rantau ini memandangkan kesedaran yang tinggi (69 peratus) dan minat (75 peratus) di kalangan bukan pengguna.

“Kesedaran adalah tertinggi di Singapura (90 peratus), Thailand (87 peratus) dan Malaysia (84 peratus ), pengguna di Filipina (89 peratus), Thailand (86 peratus) serta Vietnam (83 peratus) paling berminat untuk menggunakan kaedah pembayaran ini,” kata Visa dalam kajian itu.

Mengenai pertumbuhan bagi bank digital, Visa berkata penggunaan perkhidmatan perbankan digital dijangka menokok disebabkan landskap perbankan Asia Tenggara terus menyaksikan liberalisasi.

Di Singapura misalnya, empat penerima lesen perbankan digital merancang untuk memulakan operasi pada 2022 dan Filipina telah memberikan enam lesen perbankan digital pada 2021.

Malaysia baru sahaja menganugerahkan lima lesen perbankan digital pada April 2022, manakala Thailand termasuk Indonesia sedang meneroka lesen untuk bank digital sepenuhnya.

Sementara itu, kajian tersebut menunjukkan bahawa 74 peratus pengguna Malaysia telah berjaya menggubah perbelanjaan mereka ke arah tanpa tunai.

“Penggunaan penghantaran ke rumah kekal tinggi di Malaysia dengan sembilan daripada 10 pengguna kini menggunakannya.

“Daripada jumlah itu, satu pertiga adalah pengguna kali pertama semasa pandemik,” kata kajian itu.

Tiga sebab utama untuk berubah ke arah tanpa tunai adalah peningkatan penggunaan pembayaran tanpa sentuh (75 peratus), pertambahan dalam penggunaan pembayaran kad (60 peratus) dan penerimaan pembayaran tanpa tunai yang lebih meluas (45 peratus).

Kajian itu juga mendapati pada masa ini, 70 peratus pengguna menggunakan kad dalam talian, manakala 56 peratus memilih kad tanpa sentuh dan 40 peratus menggunakan teknologi mudah alih tanpa sentuh sebagai kaedah pembayaran digital mereka di pasaran.

Kaji selidik berkenaan telah ditauliahkan oleh Visa dan dijalankan dari Ogos hingga September 2021 di kalangan 6,520 pengguna berumur 18-65 tahun di Singapura, Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina, Vietnam, dan Kemboja.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular