Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaBERNAMA - Pencapaian pelajar MRSM dalam SPM memberangsangkan

BERNAMA – Pencapaian pelajar MRSM dalam SPM memberangsangkan

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) — Seramai 5,827 pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) mendapat sekurang-kurangnya gred kepujian tinggi dalam semua subjek peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2021, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata pencapaian pelajar MRSM adalah kejayaan yang memberangsangkan susulan mereka merupakan kohort yang terkesan dengan pandemik COVID- 19.

Katanya calon-calon SPM 2021 ini berhadapan dengan cabaran pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dan hanya berpeluang mengikuti  pembelajaran secara bersemuka selama tiga bulan sahaja.

“Mengambil kira cabaran yang dihadapi, 904 orang calon MRSM memperoleh semua A merangkumi A+, A dan A-,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya keputusan bagi subjek Bahasa Melayu menunjukkan pencapaian Gred Purata Subjek (GPS) 1.097 dengan 6,682 calon memperoleh gred A, manakala subjek Bahasa Inggeris mencapai GPS 1.577 melibatkan 5,749 calon.

Katanya secara keseluruhan keputusan SPM 2021 bagi MRSM mencatatkan indeks Gred Purata Maktab (GPM) 2.536 dengan empat maktab merekodkan prestasi cemerlang dengan GPM kurang daripada  2.0 iaitu MRSM Taiping, Perak; MRSM Tun Ghafar Baba, Melaka; MRSM Langkawi, Kedah dan MRSM Tun Abdul Razak, Pahang.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular