Isnin, Mei 16, 2022
HomeBeritaPiala Thomas: Tekanan tetap ada

Piala Thomas: Tekanan tetap ada

Daripada Amiril Muttaqien Meketar

BANGKOK, 8 Mei (Bernama) — Jaguh perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia enggan mengambil mudah cabaran lawannya dari England Toby Penty, pada aksi pembukaan Kumpulan D Piala Thomas 2022 di sini, esok.

Biarpun Penty kini berada di kedudukan ke-53 berbanding dirinya yang merupakan pemain keenam terbaik dalam ranking dunia, Zii Jia yang bakal turun sebagai perseorangan utama negara mengakui tekanan tetap ada, dalam usaha menyumbang mata pertama buat Malaysia pada kejohanan berlangsung di Impact Arena itu.

Malah, Zii Jia yang belum pernah berdepan pemain berusia 29 tahun itu, menjangkakan akan menempuh cabaran getir dalam usaha menjinakkan pesaingnya itu.

“Tentunya lawan dengan pemain yang ranking lebih rendah selain turun selaku perseorangan pertama akan ada tekanan, tetapi saya kena ambil tanggunjawab itu,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di sini, semalam.

Dalam pada itu, Zii Jia, yang masih segar dengan kejayaannya bergelar juara Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2022 di Manila minggu lepas, berharap pencapaiannya itu mampu membakar semangatnya untuk membantu Malaysia menamatkan kemarau 30 tahun tanpa sebarang kejuaraan di Piala Thomas.

Jelasnya, kejayaan di Filipina itu ternyata melonjakkan keyakinannya untuk beraksi dengan lebih baik, terutamanya dalam kejohanan berprestij badminton berpasukan dunia di Thailand, selain berazam mengekalkan momentum dimiliki dalam setiap perlawanan diharunginya selepas ini.

Pemain berusia 24 tahun dari Alor Setar itu pada masa sama berpuas hati dengan persiapannya bagi kejohanan tersebut setakat ini, termasuk mendapat rehat secukupnya selepas berjuang habis-habisan di BAC 2022.

Mengulas mengenai suasana di Impact Arena, juara All England 2021 berkata keadaan venue di sini ternyata lebih baik dari Kompleks Sukan Muntinlupa, yang disifatkannya sebagai sangat panas.

Zii Jia muncul juara BAC 2022 selepas menewaskan pemain Indonesia Jonatan Christie, 21-17, 23-21 dalam pertarungan selama 45 minit.

Kemenangannya itu menyaksikan beliau muncul sebagai pemain keenam negara berbuat demikian selepas Teh Kew San (1962), Tan Aik Mong (1971), Rashid Sidek (1991, 1992), Foo Kok Keong (1994) dan Datuk Lee Chong Wei (2016).

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Kenny Goh berkata persiapan pasukan negara termasuk skuad Piala Uber berjalan lancar.

Kenny juga memaklumkan tiada kes positif COVID-19 direkodkan dalam kem negara selepas mereka menjalani ujian sebanyak dua kali, usai tiba di sini sejak 2 Mei lepas.

— BERNAMA

Bernama

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular