BeritaCOVID19

Berpanas, Angin Kencang Antara Cabaran Getir Petugas SJR

KUALA LUMPUR, 10 Sept — Berpanas, dilanda angin kencang selain terpaksa melayan karenah masyarakat merupakan antara cabaran yang terpaksa dilalui oleh petugas keselamatan di sekatan jalan raya (SJR) yang diadakan bagi mengawal pergerakan orang ramai ketika penularan wabak COVID-19.

Walaupun mencabar, dan mereka sendiri berdepan dengan bahaya COVID-19 ia tidak sesekali melemahkan semangat anggota keselamatan untuk terus berkhidmat.

Hari ini ramai yang boleh menarik nafas lega apabila Lembah Klang yang melibatkan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara, yang membolehkan pergerakan rentas daerah dibenarkan, dan berikutan itu SJR ditamatkan kecuali di sempadan-sempadan negeri.

Bagi seorang petugas SJR di Sentul, Insp Mohamad Faizal Abd Wahab, 33, pengalaman bertugas di SJR memberikan pelbagai pengalaman berharga kepadanya.

Mohamad Faizal berkata pengalaman paling tidak dapat dilupakan adalah apabila berlaku kejadian ribut secara tiba-tiba pada bulan lepas yang menyebabkan pelbagai alatan di SJR rosak akibat terjatuh ditolak angin.

Menceritakan pengalaman itu, beliau berkata pada petang hari kejadian cuaca adalah cerah dan tiada tanda hujan atau angin kuat akan melanda.

“Tiba-tiba berlaku angin kuat, habis kon-kon, lampu-lampu dan alatan yang diletak dalam khemah terbang ditiup angin,” katanya kepada Bernama.

Bagi seorang lagi petugas SJR di Petaling Jaya, Insp Che Azizi Che Ahmad, 40, bertugas di SJR amat memerlukan kesabaran yang tinggi terutama dalam menangani karenah orang ramai yang ingin merentas daerah tanpa alasan yang kukuh.

“Antara alasan yang diberikan orang ramai yang tinggal di Kuala Lumpur hendak merentas ke Petaling Jaya ialah ingin ke rumah isteri kedua, mahu menghantar makanan ke rumah tunang malah ada yang memberi alasan mahu ke pasar di Jalan Othman (di Petaling Jaya).

“Ada juga pengguna jalan raya yang marah-marah kerana terperangkap lama akibat kesesakan di SJR, bagaimanapun selepas diterangkan dan berbincang dengan pegawai yang ditempatkan di SJR mereka memahami mengapa SJR ini perlu dilakukan,” katanya.

Che Azizi berkata bertugas di SJR juga mendedahkan beliau dan anggota-anggota lain dengan risiko jangkitan COVID-19.

Katanya oleh itu beliau mengambil langkah berjaga-jaga, dan selain mengenakan pelitup muka serta sarung tangan, beliau juga mandi dan membersihkan diri terlebih dahulu sebelum balik ke rumahnya di Bangi.

“Kadang-kadang saya mandi di pejabat, kadang-kadang saya berhenti di kawasan rehat dan rawat di lebuh raya untuk mandi sebelum pulang kerana tidak mahu membahayakan anak-anak dan isteri,” katanya.

Bagi Mohd Hidayat Aziz, 35, anggota berpangkat Sarjan di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor beliau bersedia pada bila-bila masa untuk ditugaskan di SJR sekiranya diperlukan.

“Anggota polis dilatih untuk sentiasa bersedia untuk melakukan apa-apa tugasan sekiranya diperlukan bagi menjaga keselamatan masyarakat.

“Bertugas di pejabat atau di lapangan SJR tidak beri perbezaan apa-apa. Sekiranya SJR  perlu diadakan semula saya tiada masalah untuk bertugas. Bagaimanapun saya harap SJR tidak perlu diadakan, dan COVID-19 dapat dikawal sepenuhnya,” katanya yang pernah bertugas di SJR Gohtong, Lembah Beringin dan berhampiran sempadan Perak di Tanjung Malim sejak tahun lepas.

— BERNAMA

Source link

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button