Berita

Bezakan Keperluan, Kehendak Urus Pembelian Musim Perayaan

60views

KOTA KINABALU, 9 Feb — Pengguna perlu bijak dalam mengurus kewangan dengan membezakan keperluan dan kehendak terutamanya ketika membuat pembelian menjelang musim perayaan Tahun Baharu Cina.

Penaung Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah Datuk Amisah Yassin berkata pengguna haruslah bijak berbelanja dan tidak mudah terpengaruh dengan ilustrasi iklan dan promosi jika melampaui batas kemampuan diri sendiri.

“Pengguna haruslah mengambil langkah untuk berjaga-jaga dan tidak berbelanja tanpa meneliti sesuatu itu sebagai kehendak atau keperluan kerana ia boleh memberi kesan kepada pengguna kembali.

“Dalam suasana perayaan yang bakal tiba, pasti ada yang ingin berbelanja lebih daripada biasa, namun sentiasalah menjadi pengguna yang bijak, utamakan perkara yang perlu agar tidak menyesal di kemudian hari,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, situasi ekonomi di negara ini berada dalam tahap yang tidak begitu memberangsangkan dengan pelbagai cabaran dibawa COVID-19 antaranya ramai rakyat telah hilang pekerjaan.

Sementara itu, Pengerusi persatuan berkenaan David Chan menggesa agar para peniaga tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barang jualan termasuk barang kawalan.

“Walaupun para peniaga terkesan dan tertekan dengan kemerosotan jualan masa kini, namun, jangan sesekali mencalar integriti sebagai peniaga berhemah dan mengambil kesempatan ke atas pelanggan,” katanya.

Beliau berkata para peniaga yang menaikkan harga barang kawalan seperti telur, gula, tepung dan sebagainya akan dikenakan tindakan undang-undang atau dikenakan kompaun jika disabit kesalahan.

“Oleh itu, para peniaga janganlah menaikkan harga barang kawalan tanpa kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan pengguna diminta melaporkan kepada KPDNHEP jika berdepan situasi sedemikian,” katanya.

Source link