Berita

Bilangan penumpang Rapid Bus menurun pada 2019, 2020

KUALA LUMPUR, 28 Sept — Bilangan penumpang bas syarikat Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) bagi tahun-tahun 2019 dan 2020 masing-masing telah mencatatkan penurunan sebanyak sembilan peratus dan 52 peratus, kata Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2019 Siri 2.

Menurut laporan berkenaan yang dikeluarkan hari ini, syarikat merekodkan sebanyak 159.10 juta penumpang pada 2019  manakala pada 2020 pula, bilangan penumpangnya adalah sebanyak 76.50 juta.

“Antara faktor yang menyebabkan penurunan penumpang bas adalah Program Pemutihan Pekerja Tanpa Izin dan pas perjalanan tanpa had My100.

“Perkhidmatan bas awam merupakan pengangkutan utama bagi pekerja asing dan Program Pemutihan Pekerja Tanpa Izin telah menyebabkan penurunan penumpang bas dengan ketara,” jelas laporan itu.

Ia juga berkata pas perjalanan tanpa had My100 telah menggalakkan pengguna beralih kepada perkhidmatan pengangkut rel seperti monorel, Transit Aliran Ringan (LRT) dan Mass Rapid Transit (MRT) kerana pengangkutan rel yang lebih efisien dan tambang yang lebih murah.

Penyediaan tempat letak kenderaan di stesen-stesen MRT juga menyebabkan pengguna lebih cenderung untuk memandu kenderaan sendiri ke stesen MRT berbanding menaiki bas.

Berdasarkan kepada Segmental Report Rapid Bus, semakan audit mendapati perbelanjaan operasi bagi 2017 hingga 2020 berjumlah RM1.7 bilion telah melebihi hasil yang diterima berjumlah RM827 juta, manakala pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) pula menunjukkan kerugian sebanyak RM882.46 juta.

“Jumlah hasil hanya 48.4 peratus berbanding jumlah perbelanjaan. Selain itu, hasil tambang bas Rapid KL rendah kerana tidak dikaji semula melebihi 10 tahun,” tambahnya.

Laporan itu turut menyatakan kos alat ganti bas telah mencatatkan peningkatan bagi 2019 kepada RM57.26 juta daripada RM46.81 juta pada 2018 manakala pada 2020, kos alat ganti terus meningkat kepada RM62.16 juta.

— BERNAMA

Source link

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button