Bilionair Ken Griffin, Belanja 10,000 Kakitangan Bercuti 3 Hari Ke Disneyland!

Memang bertuah apabila dapat majikan yang tahu menghargai penat lelat dan usaha keringat para pekerja.

Seorang bilionair di Amerika Syarikat (AS) membiayai percutian selama tiga hari ke taman tema Disneyland untuk 10,000 pekerjanya secara percuma, lapor akhbar India Times semalam.

Ken Griffin, 54 menampung semua perbelanjaan beribu-ribu kakitangan syarikat Citadel dan Citadel Securities untuk bercuti di taman tema Disneyland yang terletak di Florida pada hujung minggu lalu.
Griffin turut membayar tiket penerbangan pekerjanya dari New York, Houston, Paris, Zurich dan bandar-bandar lain. Beliau juga menampung kos hotel, tiket taman dan makanan.

Konsert Kumpulan Rock Britain, Coldplay
Sebagai tambahan kepada pakej percutian itu, Griffin turut menyediakan hiburan kepada pekerjanya dengan mengadakan konsert oleh kumpulan rock Britain, Coldplay.

Percutian itu menandakan ulang tahun ke-20 Citadel Securities dan ulang tahun ke-32 syarikat dana lindung nilai, Citadel.

Manusia ke 40 Paling Kaya
Griffin merupakan manusia ke-40 paling kaya di dunia dengan nilai harta mencecah AS$31.7 billion (RM139 bilion). Justeru, beliau mampu mengeluarkan wang untuk menyediakan hiburan kepada pekerja-pekerjanya.

Percutian itu menjadi tanda ucapan terima kasih kepada kakitangannya atas kerja keras mereka selama setahun dan pulangan yang tinggi.

“Kita telah membina pasukan luar biasa bukan sahaja dalam sejarah syarikat, tetapi juga dalam sejarah kewangan. Kita mempunyai masa hadapan yang luar biasa dan saya menantikannya,” kata Griffin kepada pekerjanya.
Menurut jurucakap syarikat itu, Zia Ahmed, tahun ini akan menjadi rekod untuk Citadel dan Citadel Securities.
Firma dana lindung nilai itu menguruskan aset bernilai AS$59 bilion (RM258.9 bilion) yang merupakan angka yang lebih tinggi daripada nilai bersih Griffin.

Citadel Global Fixed Income Fund juga meningkat 28.1 peratus untuk tahun ini dan Citadel Tactical Trading Fund meningkat 22.4 peratus.

Source link

Facebook Comments Box
Back to top button