Berita

BNM Terbitkan CCPT Agar Sektor Kewangan Lebih Berdaya Tahan

125views

KUALA LUMPUR, 10 Mei — Bank Negara Malaysia (BNM) menerbitkan dokumen panduan mengenai Perubahan Iklim dan Taksonomi berasaskan Prinsip (CCPT) baru-baru ini, sebagai antara komitmennya agar sektor kewangan lebih berdaya tahan terhadap iklim dan membolehkan peralihan yang teratur ke arah ekonomi lebih hijau.

Dalam kenyataan hari ini, bank pusat berkata dokumen panduan CCPT itu bertujuan menyelesaikan tindakan segera untuk mempercepatkan peralihan berkenaan berikutan meningkatnya kemungkinan dan impak perubahan iklim yang mendalam terhadap kestabilan kewangan.

“Sektor kewangan memainkan peranan penting dalam menyokong peralihan ini dengan menyalurkan modal dan dana kepada aktiviti yang menyokong objektif iklim dan alam sekitar melalui pembiayaan hijau, aktiviti pelaburan dan nasihat.

“CCPT menyediakan rangka kerja untuk memudahkan penilaian aktiviti ekonomi yang kukuh dan konsisten dan impaknya yang berkaitan terhadap pengurangan iklim, penyesuaian dan peralihan kepada karbon rendah dan/atau amalan yang lebih lestari,” katanya.

BNM berkata penilaian itu merangkumi pertimbangan kepada hasil alam sekitar yang lebih meluas, khususnya mengenai bagaimana operasi perniagaan boleh menjejaskan pencemaran, biodiversiti dan kecekapan sumber.

Menurut bank pusat, bagi menyokong peralihan yang teratur, CCPT menghargai langkah segera dan mewujudkan sistem peralihan kategori yang progresif iaitu sokongan iklim, peralihan dan senarai amatan sebagai mengiktiraf  usaha dan komitmen perniagaan dalam melaksanakan amalan lestari.

CCPT diterbitkan untuk kali pertama pada Disember 2019 sebagai kertas perbincangan untuk rundingan awam.

Semasa tempoh perundingan itu, bank pusat menerima maklum balas daripada pelbagai pihak berkepentingan termasuk institusi kewangan, syarikat pengurusan aset, agensi penarafan dan pertubuhan bukan kerajaan.

BNM berkata, ia telah bekerjasama dengan Jawatankuasa Kecil Pengurusan Risiko Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (JC3) untuk mengumpulkan maklum balas yang diterima dan memperkukuhkan taksonomi berkenaan.

“Dokumen yang dimuktamadkan ini akan menjadi panduan kepada institusi yang diselia dan boleh dirujuk penggiat sektor kewangan lain dan pihak berkepentingan sektor awam untuk mewujudkan dan menstruktur penyelesaian dan perkhidmatan kewangan hijau untuk menggalakkan usaha penyahkarbonan dan pembangunan sektor hijau,” katanya.

— BERNAMA

Source link