Home Berita BNM tingkat kerjasama dengan bank dan agensi penguatkuasaan banteras penipu kewangan

BNM tingkat kerjasama dengan bank dan agensi penguatkuasaan banteras penipu kewangan

29
0

KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) — Semua bank berlesen dikehendaki menerapkan standard keselamatan yang tinggi, terutamanya untuk perkhidmatan perbankan Internet serta mudah alih, antaranya seperti semakan keselamatan dan khidmat nasihat secara berkala yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) kepada institusi kewangan.

Nasihat tersebut termasuk keperluan untuk meningkatkan kawalan sedia ada dan memastikan perlindungan yang mencukupi terhadap ancaman terkini, sambil mengekalkan perkhidmatan yang cekap kepada pelanggan.

“Risiko penipuan sentiasa berubah-ubah berikutan penipu terus menggunakan kaedah yang lebih canggih bagi menipu orang ramai.

“Kaedah ini termasuk pendekatan baharu untuk memperdaya pemegang akaun bank supaya mendedahkan butiran perbankan mereka atau memasukkan perisian hasad ke dalam peranti mereka,” menurut BNM dalam satu kenyataan hari ini.

Oleh itu, industri kewangan dan pihak berkuasa perlu sentiasa berwaspada terhadap modus operandi yang terkini. BNM terus bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta industri kewangan dalam menyelaraskan usaha membanteras pemalsuan serta penipuan kewangan dan mewujudkan kesedaran orang ramai yang lebih meluas tentang taktik penipuan terbaharu.

Di samping memastikan langkah-langkah pencegahan yang lebih berkesan oleh institusi kewangan, usaha-usaha ini juga memberikan sokongan pada tindakan mendapatkan semula dana yang telah diselewengkan serta siasatan yang tepat pada masa dan berkesan oleh agensi penguatkuasaan undang-undang yang berkaitan.

Orang ramai dinasihati untuk melindungi maklumat peribadi mereka dan lebih berwaspada semasa memuat turun fail atau aplikasi daripada sumber yang tidak disahkan ke dalam peranti mudah alih.

Pengguna perkhidmatan kewangan juga memainkan peranan yang penting untuk terus peka dengan ancaman baharu melalui makluman yang dikeluarkan oleh institusi kewangan, BNM dan pihak berkuasa lain selain mengambil langkah berjaga-jaga untuk melindungi diri sendiri.

Maklumat tentang ancaman terkini dan langkah-langkah yang boleh diambil oleh individu bagi melindungi diri terhadap ancaman yang berubah-ubah boleh didapati daripada halaman Amaran Scam di Facebook pada  https://www.facebook.com/amaranpenipuan/.

Para pemegang akaun yang mendapati wujudnya transaksi meragukan yang melibatkan akaun bank mereka perlu segera:

1. Memaklumkan kepada bank mereka;

2. Menghubungi talian yang berikut:

a. Scam Response Centre Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (CCID) melalui nombor 03-2610 1559/1599 atau BNMTELELINK melalui talian 1-300-88-5465.

Tindakan ini akan memudahkan pengambilan langkah-langkah segera oleh CCID dengan kerjasama BNM dan bank-bank bagi membantu melindungi akaun-akaun yang terjejas.

3. Membuat laporan polis untuk memudahkan siasatan.

Bagi kes transaksi tanpa kebenaran, BNM menghendaki semua bank berlesen memastikan komunikasi dilakukan dengan betul serta bantuan penyelesaian yang adil diberikan kepada pelanggan yang telah mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk melindungi diri mereka dan tidak melakukan penipuan.

“Semua bank telah diberikan peringatan supaya memberikan bantuan dan maklumat yang sewajarnya kepada para pelanggan yang terjejas dalam usaha melindungi akaun mereka dan status penyiasatan oleh bank-bank,” kata BNM lagi.

BNM juga akan mengambil tindakan penyeliaan dan penguatkuasaan yang bersesuaian bagi kes bank-bank yang tidak mengambil langkah-langkah yang sewajarnya bagi melindungi pelanggan mereka atau gagal mematuhi peraturan yang berkaitan.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Previous articlePelajar lemas cuba selamatkan rakan tergelincir di Lata Guling
Next articleMesyuarat Khas Menteri Luar Asean-India diadakan minggu depan
Sistem Automasi Berita