info@rakyat.my
Wednesday, June 16, 2021
Berita

Brisbane Berkurung Akibat Varian Baharu COVID-19

85views

BRISBANE, 8 Jan — Bandar raya Brisbane dikenakan perintah berkurung selama tiga hari mulai petang ini, selepas pekerja di sebuah hotel yang dijadikan tempat kuarantin dijangkiti varian baharu COVID-19 United Kingdom (UK).

Pihak berkuasa bandar raya itu berkata, sejak pagi tadi, lebih dua juta penduduk di bandar berkenaan diarahkan mematuhi larangan kawalan pergerakan dan kekal di rumah sehingga Ahad ini.

Ketua Menteri Queensland, Annastacia Palaszczuk, berkata kerajaan perlu mengambil tindakan pantas bagi mengelakkan sebarang risiko.

“Jika kita mahu menghentikan penularan jangkitan virus varian baharu dari UK ini kita harus bertindak pantas,” katanya kepada media, di sini.

Varian itu yang mula mencetuskan kebimbangan di UK bulan lalu, dilaporkan mempunyai kadar jangkitan lebih tinggi berbanding strain COVID-19 yang sebelum ini dikesan di Australia.

Kes terbabit dipercayai menular dalam kalangan pelancong yang dikuarantin di hotel di bandar ketiga terbesar di Australia itu sebelum menjangkiti tukang cuci yang bekerja di situ.

Perintah berkurung itu dilihat mengembalikan semula sekatan sejak Mac, di mana penduduk diarahkan untuk kekal di rumah, namun bagi mereka yang perlu keluar dengan alasan penting, perlu memakai pelitup muka.

Negeri Queensland tidak merekodkan kes baharu membabitkan penularan dalam kalangan komuniti hari ini namun Perdana Menteri Australia, Scott Morrison menyambut baik penguatkuasaan itu dengan menegaskan keperluan tindakan awal diambil untuk menghalang ia merebak.

“Ini ialah masa yang amat diperlukan, ” katanya di Twitter.

Sebelum pengumuman itu, Brisbane adalah antara beberapa bandar di Australia yang menikmati kehidupan normal ketika musim panas di hemisfera selatan.

Namun, penularan wabak itu di Sydney dan Melbourne baru-baru ini memaksa perjalanan antara sempadan negeri diperketatkan semula di saat tekanan dibuat terhadap pihak berkuasa untuk mempercepatkan penyediaan vaksin. – AFP

Source Link