Bukan sekadar bangkang, PN akan tegur kerajaan untuk rakyat

BATU KURAU, 16 Dis (Bernama) — Pengalaman sebagai kerajaan sebelum ini akan digunakan oleh Perikatan Nasional (PN) untuk memainkan peranan sebagai blok pembangkang di Parlimen sebaik mungkin termasuk menegur kerajaan jika ada perkara yang dilaksanakan tidak menguntungkan rakyat.

Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata pengalaman itu juga boleh membantu mereka menyampaikan pandangan kepada pentadbiran kerajaan ketika ini.

“Kita (PN) ada pengalaman, kita akan tegur dan sampaikan bila ada perkara yang tidak baik,” kata Ahli Parlimen Larut itu selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di sini hari ini.

Mengenai keputusan PN untuk menamakan beliau sebagai Ketua Pembangkang, Hamzah berkata beliau menerimanya sebagai amanat dan tanggungjawab besar.

“Bukan sekadar membangkang tapi sebagai kumpulan yang berwibawa bagi memastikan kerajaan bekerja dengan baik,” katanya.

Mesyuarat Jawatankuasa PN baru-baru ini bersetuju melantik Hamzah sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.

Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 dijadual berlangsung pada 19 dan 20 Dis serta merupakan sidang Dewan Rakyat pertama selepas Pilihan Raya Umum ke-15.

— BERNAMA

Sumber

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button