info@rakyat.my
Friday, June 18, 2021
Berita

Bunuh Rakan Kerana Tidak Puas Hati Dengan Hasil Samun

83views

AYER KEROH, 22 Jan — Tiga lelaki didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas tuduhan membunuh seorang lelaki yang juga rakan mereka di Rumah Pangsa Batu Berendam, awal Januari lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga tertuduh, SS Darsan, 41, A Sethu, 33, dan K Raja Segaran, 40, selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Lee Kim Keat.

Mengikut pertuduhan, Darsan, Sethu dan Raja Segaran didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian rakan mereka, S Kumar, 41, di sebuah rumah di Rumah Pangsa Batu Berendam, Melaka Tengah, pada jam antara 5 petang hingga 7 malam, 5 Januari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Intan Lyiana Zainal Abidin, manakala Darsan diwakili peguam Paul Krishnaraja.

Mahkamah kemudian menetapkan 11 Mac depan untuk sebutan semula kes bagi serahan laporan kimia dan forensik.

Media sebelum melaporkan, mayat seorang lelaki ditemui orang awam dalam keadaan tertiarap dan ditutup dengan kain putih di tempat duduk belakang kereta Proton Perdana di tempat parkir kereta Rumah Pangsa Batu Berendam di sini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati motif pembunuhan disebabkan pergaduhan rakan sejenayah yang dipercayai tidak berpuas hati dengan hasil samun bersenjata oleh empat suspek di sebuah kedai serbaneka di Kota Laksamana pada 4 Januari lalu.

Source Link