info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Bursa Malaysia perkenalkan acara penyenaraian secara maya

29views

KUALA LUMPUR, 15 Okt  — Bursa Malaysia Bhd telah berjaya mengendalikan acara penyenaraian maya pertamanya dengan penyenaraian Samaiden Group Bhd (Samaiden) di Pasaran ACE pagi ini.

Perkhidmatan penyenaraian maya ini merupakan tawaran baharu oleh bursa berikutan penguatkuasaan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Dalam satu kenyataan hari ini, ia berkata Samaiden — antara syarikat perunding terkemuka bagi  penyedia perkhidmatan tenaga diperbaharui dan persekitaran di Malaysia  — merupakan syarikat pertama yang menggunakan perkhidmatan penyenaraian maya yang ditawarkan oleh bursa.

Acara penyenaraian maya itu diadakan secara langsung di Bursa Marketplace Facebook Page (https://www.facebook.com/BursaMarketplace).

Siaran ulangan acara penyenaraian maya itu boleh ditonton di www.bursamalaysia.com dan laman Bursa Marketplace Facebook.

“Kami akan terus memanfaatkan teknologi untuk menyesuaikan tradisi kami dengan persekitaran yang terus berubah dan pada masa sama, mengutamakan kesihatan dan keselamatan pihak berkepentingan kami,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Muhamad Umar Swift.

Sementara itu, bursa itu dijangka menyaksikan empat lagi penyenaraian bulan ini iaitu Southern Cable Group Bhd (16 Okt); Aneka Jaringan Holdings Bhd (20 Okt); Mr DIY Group (M) Bhd (26 Okt) dan Econframe Bhd (27 Okt).

— BERNAMA

Source link