Berita

Cadang program anti-kemiskinan untuk sokong inisiatif RMK12

KUALA LUMPUR, 27 Sept —  Kerajaan dicadangkan untuk mewujudkan program anti-kemiskinan bagi pelaksanaan yang lebih baik inisiatif berkaitan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), kata Pengerusi Pusat bagi Kajian Dasar Awam Institut Strategi dan Kepimpinan Asia  (ASLI) Tan Sri Ramon Navaratnam.

Ahli ekonomi dan bekas penjawat awam itu berkata kerajaan perlu menumpu untuk membantu golongan misikin kerana lebih daripada 600,000 isi rumah daripada kumpulan berpendapatan pertengahan (M40) telah tergelincir ke dalam kategori kumpulan B40 berikutan pandemik COVID-19.

“Dasar Ekonomi Baharu (DEB) perlu merangkumi semua rakyat dan bukan dibahagikan menerusi kaum atau agama,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata sektor kesihatan sudah tentunya perlu diberikan lebih perhatian dalam RMK12 di tengah-tengah penularan pandemik, namun sektor perumahan juga perlu diberikan perhatian yang sama bagi memberi kemudahan kepada kumpulan berpendapatan rendah.

Ramon juga mencadangkan kerajaan mewujudkan sistem pemantauan sama ada semasa persidangan parlimen atau di peringkat kementerian bagi memantau ketelusan perbelanjaan kementerian dan memastikan ia tidak melibatkan rasuah.

“Kerajaan perlu memastikan politik yang baik yang mana rakyat boleh menyertainya, libatkan individu daripada pelbagai peringkat, persekutuan, negeri atau daerah untuk memantau kemajuannya,” katanya.

Beliau berkata Malaysia sentiasa memiliki idea bernas dan rancangan yang dirangka dengan baik tetapi kegagalan terbesar adalah kurangnya usaha untuk memantau bagaimana dana yang disediakan diperuntukkan kepada rakyat.

Menurut Ramon, kejayaan RMK12 bergantung kepada pelaksanaannya dan prestasi kerajaan.

“Lihat pada RMK11, kita perlu belajar daripada kesilapan masa lalu. Sejauh mana kemajuan kita?

“Kurangkan berpolitik dan lebih tumpukan kepada prestasi. Jangan biarkan orang miskin menjadi semakin miskin dan orang kaya bertambah kaya,” katanya.

Selain itu, beliau menggesa kerajaan untuk belajar daripada pengalaman lepas dalam menentukan hala tuju negara bagi tempoh lima tahun akan datang dan memastikan tadbir urus yang lancar di samping menjaga kepentingan rakyat.

Semasa membentangkan RMK12 di Dewan Rakyat hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengetengahkan sembilan bahagian tumpuan utama:

i. Merancakkan pertumbuhan ekonomi.

ii. Memperkukuh pemangkin pertumbuhan.

iii. Meningkatkan kesejahteraan keluarga Malaysia.

iv. Memantapkan keselamatan dan ketenteraman awam.

v. Membasmi kemiskinan tegar dan merapatkan jurang pendapatan.

vi. Memperkasa agenda Bumiputera dan keluarga Malaysia.

vii. Melonjakkan pembangunan Sabah, Sarawak dan negeri-negeri kurang membangun.

viii. Mempercepat pertumbuhan hijau.

ix. Meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam dan memastikan pelaksanaan dasar yang berkesan.

 — BERNAMA

Source link

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button