info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Cap jari mayat tidak sepadan dengan Nora Anne

36views

SEREMBAN, 23 Okt — Mahkamah Koroner di sini hari ini diberitahu sampel cap jari  Nora Anne Quoirin yang diterima oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) daripada pihak berkuasa Perancis tidak sepadan dengan cap jari yang diambil daripada mayat yang ditemukan dan juga dalam pangkalan data PDRM.

Penolong Pendaftar Penjenayah Malaysia, Pusat Pendaftaran Penjenayah Malaysia dan Singapura, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Puwira Jaya Othman berkata PDRM hanya menerima dua sampel daripada Perancis iaitu jari telunjuk dan jari hantu, kedua-duanya daripada tangan kiri Nora Anne.

“Cap jari yang diperoleh daripada Perancis itu disemak dengan ‘unsolved latents’, jika ia serupa dengan Nora Anne. Cap jari yang diterima adalah rakaman cap jari semasa dia hidup,” katanya ketika memberi keterangan pada prosiding inkues di hadapan Koroner Maimoonah Aid, bagi menentukan punca kematian remaja perempuan warga Ireland-Perancis itu, yang memasuki hari ke-14, hari ini.

Bagaimanapun saksi ke-34 itu berkata jika mereka menerima kesemua 10 salinan cap jari daripada pihak berkuasa Perancis, beberapa salinan mungkin sepadan dengan sampel yang ada dalam milik PDRM.

‘Unsolved latents’ merupakan cap jari yang boleh dibuat perbandingan tetapi tidak dapat dipastikan identiti cap jari dan dianggap cap jari belum selesai.

Ditanya peguam mewakili keluarga Nora Anne, S. Sakthyvell sama ada kualiti cap jari boleh terjejas jika mayat dijumpai berhampiran anak sungai, Puwira Jaya yang berpengalaman 30 tahun dalam bidang berkenaan, berkata kesan cap jari mudah rosak jika di tempat kebakaran dan berair kerana kulit mangsa mengelupas.

Menjawab soalan koroner yang ingin tahu jika ada manusia yang tidak mempunyai 10 cap jari yang lengkap, saksi itu berkata ada, namun peratusannya kecil.

Terdahulu, saksi ke-33, Pemeriksa Cap Jari dan Penolong Pendaftar Penjenayah Malaysia daripada bahagian  sama, Rabidin Mohd Zin, 54, berkata cap jari boleh bertahan selama beberapa hari dan minggu, namun bergantung pada persekitaran serta boleh tertinggal di permukaan yang licin, rata dan kering.

“Usia cap jari bergantung pada terlalu banyak benda yang subjektif. Pertama bergantung pada kadar peluh seseorang. Jika keluar peluh banyak, cap jari akan ada di permukaan dengan lebih lama berbanding orang yang tak berpeluh, sudah tentu cap jari tersebut agak sukar untuk melekat pada permukaan yang disentuh.

“Kedua, bergantung pada persekitaran. Ini kerana peluh terdiri daripada air dan lemak iaitu lebih kurang 90 peratus air dan 10 peratus lemak, air mudah keluar dengan faktor cuaca dan mudah tersejat dan terpeluap dengan faktor persekitaran. Ketiga, faktor gangguan atau sekiranya terganggu atau tergesel di atas permukaan, kesan cap jari ia akan hilang,” katanya yang berpengalaman 32 tahun dalam bidang berkenaan.

Prosiding inkues dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurhafiza Haron yang bertindak sebagai pegawai pengendali.

Nora Anne, 15, hilang pada 4 Ogos tahun lepas, sehari selepas dia dan keluarga tiba di Malaysia untuk bercuti selama dua minggu di sebuah pusat peranginan Pantai di sini, kira-kira 60 kilometer di selatan ibu negara.

Pada 13 Ogos 2019, mayat Nora Anne ditemukan berhampiran anak sungai di kawasan berlurah, kira-kira 2.5 km dari resort penginapannya susulan pencarian besar-besaran yang dilakukan pihak berwajib.

Prosiding inkues bersambung 11 Nov dengan ahli keluarga Nora Anne dijangka dipanggil memberi keterangan.

— BERNAMA

Source link