info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Capaian Internet, Kurang Gajet Sukarkan PdPR

105views

KUALA LUMPUR, 17 Jan — Faktor capaian internet dan pemilikan gajet dilihat menjadi antara faktor utama menyebabkan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) kurang berkesan.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang, berkata ia menyumbang kepada beberapa kesan negatif dan merumitkan keadaan golongan berpendapatan rendah.

Selain itu, katanya, kaji selidik NUTP mendapati 93 peratus guru memilih kaedah PdP secara bersemuka walaupun mengakui berpuas hati dengan kerjasama diberikan ibu bapa bagi menjayakan PdPR.

“Kemahiran guru mengendalikan PdPR semakin baik dan masing-masing sudah mempunyai pengalaman ketika pelaksanaan PKP, Mac tahun lalu.

“Diakui, guru berdepan cabaran dan kesukaran menjalankan PdPR bagi murid Tahun Satu kerana pelajar tidak pernah menjalani proses sedemikian sebelum ini.

“Bagaimanapun, kita tak boleh menolak PdPR kerana ia satu-satunya kaedah yang ada ketika negara berdepan pandemik COVID-19,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Semalam, Kementerian Pendidikan (KPM) melaporkan, sesi persekolahan secara bersemuka mulai 20 Januari ini di seluruh negara dihadkan kepada calon peperiksaan utama bagi 2020.

Sehubungan itu, hanya calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2020, perlu ke sekolah bagi mengikuti pembelajaran bersemuka.

Turut tersenarai, pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) 2020 serta peperiksaan antarabangsa setara.

Ditanya sama ada murid berdepan masalah keciciran sistem pendidikan apabila hanya bergantung kepada PdPR, Aminuddin berkata, ia mungkin mengakibatkan perkembangan pelajar terencat.

Bagaimanapun katanya, ia tidak boleh menjadi pengukur bagi keberkesanan menghasilkan modal insan yang seimbang.

“Dalam hal ini tak boleh nak dibandingkan dan semua pihak mesti terima keadaan PdPR adalah berasaskan kepada kesediaan murid, selain objektif pengajaran guru terhad dan perlu dipelbagaikan mengikut kreativiti.

“Apabila keadaan kembali baik, mungkin guru boleh lakukan langkah lain untuk baik pulih masalah sepanjang pelaksanaan PdPR,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock, mencadangkan kerajaan memberi pengecualian cukai untuk pembelian peranti, selain menumpukan usaha bagi menggembleng pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan swasta bagi penyediaan infrastruktur yang kondusif.

“Kita ada menerima maklum balas dan cadangan radikal supaya PdPR diadakan di luar waktu kerja (bagi memastikan fokus murid ketika belajar), tetapi ia perlu dipersetujui semua pihak,” katanya.

Source Link